Shahidan: Semua MP termasuk Najib pengkhianat jika tolak Belanjawan 2021



KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Najib Razak dianggap pengkhianat sekiranya menolak Belanjawan 2021.

Itu tegas Ahli Parlimen Arau yang juga Pengerusi Backbenchers Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah yang dinanti-nantikan terutama kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan.

“Saya ingin mengingatkan kepada Dewan Yang Mulia ini, sesiapa sahaja termasuk sahabat saya dari Pekan (Najib) yang menolak bajet ini adalah pengkhianat kepada rakyat.


“Sebab ini rakyat sedang menunggu, anggota kerajaan menunggu supaya bajet ini diluluskan…mereka yang dibuang kerja menunggu agar mereka diambil bekerja semula. Kita tolak bajet kita hina mereka, kita khianat mereka.

“Saya merayu, tapi kalau tuan-tuan tak mahu terima rayuan, terpulang. Saya baca ayat al-Quran tadi,” katanya yang sebelum itu membacakan sepotong ayat suci al-Quran berkaitan berita tidak benar sebagaimana sering berlaku ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan turut mengingatkan agar ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang tidak berprasangka buruk terhadap kerajaan hari ini serta tidak menganggap lagi keberadaan kerajaan dengan menuduh ia sebagai kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.

Sebelum ini, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri mengulangi kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya akan memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021 dengan meletakkan syarat bahawa kerajaan perlu memenuhi beberapa tuntutan.


Antara perkara itu katanya, adalah kerajaan mesti membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan secara sekali beri atau one off sebanyak RM10,000 dan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal sehingga enam bulan lagi termasuk mereka daripada kumpulan M40.

Najib ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 berkata, kerajaan perlu melaksanakan cadangan berkenaan kerana ia tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

Malah, beliau percaya wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi selepas krisis Covid-19 berlalu.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan pengeluaran akaun 1 KWSP dengan lebih longgar berbanding sebelum ini yang terdapat dalan Belanjawan 2021 semasa dibentangkan di Parlimen. – MG



Please subscribe

ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram