MP PAS pertahan kenyataan hikayat Puteri Gunung Ledang



Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan perumpamaan hikayat Puteri Gunung Ledang terhadap “sokongan bersyarat” BN terhadap Belanjawan 2021, bukanlah bermakna dia menolak syor-syor mereka.

Katanya, perkara dibangkitkan bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbahasan, iaitu lanjutan moratorium enam bulan dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, masih terbuka untuk perbincangan.

Namun, tambahnya, yang tidak dipersetujuinya ialah tindakan meletak syarat untuk menyokong rang undang-undang (RUU) berkenaan.

"Hanya satu isu yang saya tidak bersetuju secara total, iaitu meletak syarat, kerana kedua-dua perkara itu tiada dalam RUU Perbekalan (Belanjawan).


"Oleh yang demikian, apabila anda berkata, 'Saya menyokong belanjawan ini dengan pindaan'. Saya bertanya, nak pinda di mana? Ia tiada dalam RUU Perbekalan," katanya di Facebook.

Meskipun ada pihak mendakwa dua perkara berkenaan ada di dalam ucapan Belanjawan 2021, Ahmad Fadhli memberi bayangan agar mereka membezakan antara ucapan berkenaan dengan RUU Perbekalan yang sedang dibahas di parlimen kini.

"Saya mungkin boleh setuju, jika ayatnya berbunyi begini, 'Saya sokong belanjawan ini, dengan syarat, kerajaan umumkan polisi berhubung moratorium dan KWSP sebagaimana cadangan saya', itu kedengaran agak munasabah.

"Tetapi meletak syarat, sokong dengan pindaan, nak pinda di mana? Sebab itu saya kata, meletak syarat ini apa tujuannya?

"Hasilnya lahirlah syarat Puteri Gunung Ledang," katanya lagi.


Semalam Ahmad Fadhli menyifatkan sokongan bersyarat BN itu sebagai janggal dan ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Sedikit berbeza dengan ahli parlimen lain, saya rasa meletakkan syarat sokongan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021 ini.

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya di Parlimen semalam.

Ini ekoran kenyataan Najib, sehari sebelum itu, bahawa sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah bersyarat, kerana Umno masih menuntut kerajaan supaya melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram