Najib tidak ambil hati disindir MP Pas cadangan 10k KWSP, lanjutan moratorium seperti hikayat Puteri Gunung Ledang



Terima kasih Ustaz. Saya tak pernah ambil hati dan kita tetap kawan.

Perlu maklum ialah lanjutan moratorium pinjaman telah disaran presiden UMNO, Pemuda UMNO dan saya sejak bulan Julai lalu tanpa dibalas.

Kerisauan utama saya ialah bajet 2021 cuma 2.5% atau RM8b lebih tinggi berbanding perbelanjaan kerajaan tahun 2019.

Jika masa itu, bajet 2019 tak dapat selamatkan ekonomi negara pada masa tanpa Covid dan merosot sehingga paling teruk sejak 11 tahun lalu, bagaimana pula bajet 2021 yang cuma 2.5% lebih besar mampu selamatkan ekonomi rakyat pada ketika wabak Covid mengganas seluruh dunia?


Itulah sebab saya tuntut pengeluaran akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.

Dan ianya juga benar dan diperakui dalam laporan ekonomi bahawa pemulihan KDNK bagi suku 3 2020 yang baru diumum minggu lepas telah banyak dibantu oleh pengeluaran KWSP melalui skim i-Lestari yang dicadangkan saya masa itu serta moratorium pinjaman secara pukal dan secara automatik (yang sudah tamat).

Kedua-dua cara ini tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan dan tidak memberi impak kepada defisit negara.

Saya juga tengok bahawa pemulihan ekonomi pada suku ketiga (walaupun masih negatif) banyak disumbangkan oleh eksport sektor elektronik dan sektor sarung tangan serta penjualan kereta domestik yang melonjak naik akibat pengecualian cukai jualan.

Namun, jumlah pekerja (termasuk pekerja asing) sektor pembuatan elektronik cuma 500 ribu orang manakala jumlah pekerja sektor sarung tangan yang banyak bergantung kepada mesin cuma 71,800 orang di mana 28,000 adalah warga tempatan dan 43,800 pekerja asing.


Penjualan kereta domestik juga tidak dapat bertahan dan hanya menguntungkan bank yang diberi peluang membuat pinjaman baru dan akan membebankan pembeli untuk tahun-tahun mendatang.

Strategi pengecualian cukai jualan bagi kereta yang banyak bergantung kepada import komponen ini pernah dilakukan oleh kerajaan PH pada tahun 2018 dan akhirnya ianya terbukti apabila ekonomi terus merudum selepas itu.

Melihat keadaan ini di mana jumlah pekerja untuk sektor-sektor tersebut adalah terhad, saya bimbang dengan ekonomi Rakyat sebab sektor-sektor lain yang melibatkan jumlah pekerja paling banyak seperti sektor runcit, sektor pelancongan (3.5 juta pekerja), sektor hiburan, SME dan peniaga kecil masih terjejas dan tak banyak menerima manfaat serta tidak berasa terbela dalam bajet 2021.

Sebab itu, saya sarankan supaya lebih banyak dana disuntik terus ke dalam tangan Rakyat pada masa paling susah supaya ekonomi boleh dirancakkan dan kesusahan rakyat yang dibuang kerja serta mereka yang tidak dibuang kerja tetapi pendapatan mereka telah turun mendadak boleh diubat sedikit.

Itulah asas cadangan-cadangan saya sebab saya tak mahu strategi yang salah menghantui rakyat dan negara pada masa kelak sedangkan bank-bank dan KWSP mampu memenuhi kedua-dua syarat ini tanpa menjejaskan mereka.

– Najib Razak
Join our Telegram Channel
Telegram