KWSP: Itu duit rakyat, kata Ahmad Maslan



SHAH ALAM - Kerajaan digesa meluluskan cadangan pengeluaran RM10,000 akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia adalah duit rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, duit itu amat diperlukan ketika ini kerana rakyat sedang susah kesan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, bagi pencarum yang simpanan tidak sampai RM10,000 dalam akaun satu KWSP pula, beliau mencadangkan agar 50 peratus daripada jumlah simpanan akan dibenarkan untuk dikeluarkan.

Katanya, UMNO juga meminta moratorium automatik 2.0 bagi pinjaman kewangan dilaksanakan selama enam bulan lagi.


"Kita bukan nak minta duit daripada kerajaan. Itu adalah duit rakyat sendiri dan kita bukan minta dihapuskan pinjaman, kita hanya minta penangguhan bayaran.

"Oleh itu kali ini harapnya luar biasa juga tindakan yang akan diambil Menteri Kewangan iaitu apabila beliau menggulung (Belanjawan 2021) sebelum diundi, maka adalah kenyataan bahawa beliau bersetuju tentang dua perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Siri 208 bertajuk 'Pasca Bajet 2021: B40 lega, M40 derita?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, wang sebanyak RM10,000 akan memberi manfaat besar kepada rakyat kerana boleh digunakan untuk memulakan perniagaan yang kemudiannya akan memberi impak dari segi kecairan ekonomi.

"Dari segi kecairan ekonomi, satu ringgit boleh jadi lima, enam ringgit. Jadi berlaku (pulangan) lima, enam, tujuh kali ganda.
 
"Justeru, kalau kita ada tambahan RM20 bilion, RM30 bilion tambahan kecairan itu maka ia akan membantu ekonomi," katanya.


Beliau berkata, dua perkara itu turut dibahaskan beliau di sidang Dewan Rakyat, tiga hari lalu mengambil kira kesusahan yang sedang ditanggung rakyat kerana statistik yang dikeluarkan Kementerian Kewangan sendiri menunjukkan sejumlah 840,000 rakyat hilang pekerjaan dan menganggur.

Kata beliau, sebagaimana surat yang ditulis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihaknya menyokong Belanjawan 2021 tetapi berharap dua perkara tersebut diluluskan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad memberitahu, antara jalan keluar untuk memastikan rakyat tidak terus terhimpit dengan keadaan ekonomi sekarang ialah dengan mewujudkan bangsa usahawan dan memperhebatkan e-dagang.

Menurut beliau, e-dagang perlu diperhebat mengambil kira pergerakan rakyat yang terbatas berikutan sekatan yang dijalankan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di hampir keseluruhan negeri ketika ini.

Katanya, susulan itu kerajaan perlu mempertingkatkan lagi latihan keusahawanan dan pemberian mikro kredit kepada rakyat untuk menggalakkan mereka menceburi bidang itu.

"Selain itu, (pelaksanaan) PKPB juga jangan terlalu lama. Kalau kawasan itu sudah hijau kembali, kita hentikan PKPB kerana ia menyusahkan rakyat dan merencatkan perniagaan," katanya. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram