Kerajaan Selangor zalim, roboh premis peniaga kecil serta-merta, kata Noh Omar



KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor didakwa zalim terhadap peniaga kecil di Sungai Buloh berikutan terdapat beberapa premis mereka didakwa dirobohkan serta-merta.

Noh Omar (BN-Tanjung Karang) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamrudin campur tangan untuk menolong peniaga kecil yang baru pulih selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

“Saya sokong tindakan roboh peniaga seperti jual arak, judi dan pusat hiburan haram. Tetapi jangan robohkan gerai peniaga kecil.

“Sebab apa roboh. Jangan jadikan mereka mangsa dengan tindakan zalim ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.



Terdahulu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita beberapa premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Antara premis disita sebuah pusat hiburan tanpa lesen dan beberapa premis perniagaan lain.

MBSA turut mengeluarkan 98 notis pemberitahuan dan 7 notis meroboh kepada 94 premis di kawasan berkenaan.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan, operasi diadakan itu turut membabitkan gerai tanpa kebenaran beroperasi di bahu jalan yang mengakibatkan masalah kesesakan lalu-lintas.



Dalam pada itu, Noh berkata beliau sendiri turun ke Sungai Buloh tengah hari tadi bagi melihat sendiri gerai peniaga kecil yang dirobohkan.

Beliau mendakwa, notis yang dikeluarkan juga tidak mengikut peraturan berikutan melihat beberapa notis daripada MBSA untuk merobohkan serta-merta.

“Mana boleh roboh serta-merta. Kena ada notis dan ikut arahan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Zuraida ketika menggulung perbahasan berkata beliau tidak boleh menjawab mengenai isu perobohan berkenaan berikutan dalam siasatan polis.

Beliau berkata akan menghubungi MBSA untuk memeriksa dan melihat isu sebenar yang berlaku di Sungai Buloh. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram