Seorang lagi anggota penguatkuasa MBSA ditahan SPRM



KUALA LUMPUR: Seorang lagi anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan, kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan setakat ini 4 orang.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek ke-4 itu merupakan anggota penguatkuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh.


Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang tadi, selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, kemudian suspek akan membahagikan wang kutipan itu kepada 3 lagi rakan suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.


Terdahulu, SPRM menahan 3 pegawai penguatkuasa MBSA untuk kes sama.

Baru-baru, tular 2 klip video disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram