4 penguatkuasa MBSA direman 7 hari dalam kes lindungi premis haram Sg Buloh



PUTRAJAYA: Empat anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman 7 hari berkaitan siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Turut direman 7 hari ialah seorang peniaga rokok seludup berbangsa Aceh yang disyaki membayar rasuah RM300 hingga RM3,500 sebulan kepada penguatkuasa.



Perintah tahanan reman bagi 5 individu itu bermula hari ini sehingga 18 Ogos dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, 4 penguatkuasa MBSA – 3 bertugas di cawangan Sungai Buloh, manakala seorang lagi di Shah Alam – ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas memberi keterangan berkaitan kes berkenaan.



Empat penguatkuasa dan peniaga itu tiba di mahkamah kira-kira 8.40 pagi tadi dengan digari dan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Isu berkenaan menjadi hangat selepas 2 klip video disebarkan di Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, yang dikenali sebagai Asri Janggut, mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram