Lelaki gila seks curi 58 pakaian dalam jiran didakwa, tidak rayu jaminan dikurangkan



PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memberi keterangan memuaskan kerana memiliki 58 helai pakaian dalam wanita di rumahnya, Selasa lepas.

Ong Kok Thye, 23, didakwa memiliki semua barangan itu termasuk seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek, tanpa mampu memberikan penjelasan memuaskan mengenai cara ia diperoleh.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Dataran Mentari, di sini.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret M Bharat tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada penjamin yang hadir bersamanya hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Sept ini untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zafirah Syed Mustafa menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak merayu jumlah jaminan berkenaan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas seorang wanita membuat laporan polis berhubung kehilangan beberapa pakaian dalam miliknya dalam kejadian di sebuah kondominium. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Please subscribe







Join our Telegram Channel
Telegram