Lelaki gila seks curi 58 pakaian dalam jiran



PETALING JAYA – Seorang lelaki ‘gila seks’ sanggup mencuri 58 helai pakaian wanita pelbagai jenama milik jirannya sendiri semata-mata bagi memuaskan nafsu syahwatnya.

Kesemua pakaian tersebut telah disembunyikan di dalam bilik tidur di kediamannya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkara itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berumur 35 tahun pada pukul 1.50 tengah hari, Selasa lalu.


“Mangsa memaklumkan telah ternampak suspek berlegar-legar dalam ruangan lif tingkat rumahnya di kondominium yang sama sekitar pukul 10.30 pagi, hari yang sama.

“Mangsa mengesyaki lelaki tersebut adalah individu yang terlibat dengan kehilangan pakaian miliknya sebelum ini lalu melaporkan perkara itu kepada suaminya dan pihak pengurusan kondominium,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek mengaku di hadapan suami pengadu dan pihak pengurusan kondominium bahawa dia telah mencuri pakaian mangsa dan menunjukkan tempat dia menyimpan pakaian tersebut di dalam kediamannya.


Katanya, bertindak atas aduan mangsa, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Way telah memberkas suspek yang berumur 23 tahun pada pukul 12.15 tengah hari di lokasi sama.

“Polis turut merampas sejumlah 58 pakaian dalam wanita pelbagai jenama serta sebatang kayu yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk mengait pakaian dalam itu.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes di bawah seksyen 457 kanun keseksaan,” ujarnya. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram