Xavier Jayakumar umum keluar PKR serta-merta, sokong PN selepas proksi ditahan SPRM



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta-merta.

Beliau yang telah bersama PKR sejak 1998 berkata, pihaknya kecewa apabila ada parti yang terus membincangkan mengenai pilihan raya sedangkan fokus utama sepatutnya adalah membantu rakyat.


“Saya mengumumkan perletakan jawatan sebagai naib presiden dan ahli PKR secara serta-merta.

“Dalam keadaan negara dilanda pandemik ini, kita harus membantu kerajaan yang telah meletakkan usaha untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong meninggalkan PKR dan kini menjadi ahli Parlimen bebas.


Xavier kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan tugas beliau sebagai ahli Parlimen bebas di Kuala Langat.

“Saya akan terus berkhidmat dan menyokong kerajaan hari ini sebagai ahli Parlimen bebas dan akan terus berkhidmat kepada penduduk Kuala Langat yang telah memilih saya pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram