Tinggal PKR sokong PN, Xavier utamakan rakyat – Hamzah



TIDAK seperti mana dakwaan seteru politik, Perikatan Nasional (PN) percaya keputusan Dato Dr Xavier Jeyakumar meninggalkan PKR dan menyokong kerajaan PN adalah kerana beliau mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Setiauaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, ini memandangkan Xavier adalah seorang Ahli Parlimen yang sangat berpengalaman luas.

Justeru katanya, PN mengalu-alukan pengisytiharan terbuka Ahli Parlimen Kuala Langat itu yang juga mantan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas dan menyokong Kerajaan PN.


“Dalam hal ini, PN menyifatkan sokongan beliau sebagai satu lagi manifestasi keyakinan terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membantu rakyat terutama ketika menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Xavier menjadi perhatian ramai ketika ini apabila mengumumkan meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas setelah hilang keyakinan kepada parti tersebut.

Bagaimanapun, PKR dalam respons awal mengaitkan keputusan bekas menteri era Pakatan Harapan (PH) itu dengan siasatan rasuah yang sedang berjalan ke atas individu yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengannya.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menjadi Ahli Parlimen PKR ketiga dalam tempoh terdekat ini yang mengumumkan menyokong kepimpinan kerajaan PN.


Isu lompat parti juga menimbulkan kritikan ramai dalam kalangan rakyat merentas kepartian kerana hal berkenaan berlaku meluas sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, melibatkan blok PN dan juga sesama PH.

Berikutan itu, banyak ahli akademik menggesa pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang sekat lompat parti digubal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari berkata, apa jua siasatan jika ada yang melibatkan ahli politik perlulah diteruskan dengan adil dan saksama tanpa mengira peralihan kiblat dan sokongan.

“Kerajaan tentunya tidak akan mencampuri urusan pihak yang menyiasat dan juga bidang kehakiman jika sekiranya ada kes yang didakwa di mahkamah,” jelas Timbalan Ketua Pemuda Pas itu. – Utusan
 

Join our Telegram Channel
Telegram