UMNO dijangka adakan mesyuarat tergempar malam ini, bincang politik Perak, kedudukan kerajaan Persekutuan



SHAH ALAM - Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dijangka mengadakan mesyuarat tergempar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 8.30 malam, hari ini.

Menurut sumber dalaman UMNO, difahamkan tujuan mesyuarat tersebut diadakan adalah bagi membincangkan krisis politik yang sedang berlaku di Perak ketika ini.


Mesyuarat tersebut juga difahamkan akan membincangkan mengenai isu yang berkaitan dengan kedudukan kerajaan Persekutuan secara keseluruhannya.


Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bahawa parti tersebut sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak sekiranya jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.


Ahmad Zahid turut berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat pimpinan Pusat dengan parti komponen Perikatan Nasional dan PH berhubung perkara itu.

Dalam laporan berasingan, parti gabungan PH termasuk DAP telah menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil di Perak. – Awani


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram