Paderi OKU Korea ditahan lagi, cabul lelaki lain pula



GEORGE TOWN: Seorang paderi warga Korea pekak bisu yang sebelum ini didakwa melakukan serangan seksual terhadap dua lelaki di Butterworth, hari ini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret kerana mencabul seorang mangsa lain, 20 tahun lalu.

Jee Jong Hoon, 54, didakwa melakukan serangan seks terhadap mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun (kini berusia 40 tahun) dengan meraba kemaluannya, selain memeluk dan mencium mangsa secara paksa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong Delima 3, Island Glades, pada satu tarikh pada 2000.


Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Sedikit kekeliruan berlaku di mahkamah hari ini apabila tiada jurubahasa isyarat disediakan untuk Jee.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri mencadangkan ikat jamin tidak ditawarkan untuk Jee kerana tuduhan tidak dapat dibacakan kepadanya.

Peguam bela Jee, G Shanmugam bagaimanapun berkata, anak guamnya sepatutnya diberikan ikat jamin kerana tuduhan terhadapnya didaftarkan, seperti dibenarkan mengikut Kanun Tatacara Jenayah.


Shanmugam, yang dibantu peguam Adlin Farhana Ismail, juga menegaskan pihak pendakwa sepatutnya menyediakan jurubahasa isyarat antarabangsa, kerana masalah sama pernah timbul sebelum ini ketika Jee didakwa di Mahkamah Majistret di Butterworth, dua minggu lalu, juga atas tuduhan mencabul dua mangsa lelaki.

Majistret Rosnee Mohd Radzuan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu supaya melaporkan ke balai polis terdekat pada setiap 29 hari bulan, selain tidak menghubungi mangsa atau saksi kes berkenaan.

Beliau kemudian menetapkan 9 Februari untuk sebutan kes selain bagi melantik jurubahasa.

Jee membayar jaminannya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram