Mana suapan wang ringgit, mana akaunnya? – Guan Eng



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan beliau ada menerima suapan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Guan Eng menegaskan tuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Beliau turut mempersoalkan dimanakah berlakunya rasuah kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah bertanyakan perkara itu kepadanya.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak pernah terima sebarang suapan dan ini tidak ditanyakan SPRM di mana suapan saya.



“Dia (SPRM) tak pernah bertanya mana suapan saya sama ada dalam bentuk wang ringgit atau dalam akaun saya.

“Ini sebabnya saya akan melawan tuduhan rasuah ini sebab saya rasa ia bermotifkan politik,” kata bekas Menteri Kewangan itu dalam sidang media, di sini pada Jumaat.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, tuduhan tersebut juga bertujuan untuk memburukkan imejnya sebagai Ahli Parlimen pembangkang.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.



Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, beliau itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi membantu syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Seksyen 16 (a) (A) dan Seksyen 23 Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.



Dalam pada itu, Guan Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin bagi pertuduhan di bawah dakwaan Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah 9, Azura Alwi turut mengarahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Guan Eng diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekali lagi akan didakwa pada 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama.

Selain itu, Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos ini bagi kes berlainan pula. – Astro Awani


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram