TERKINI: Guan Eng dipanggil ke SPRM, keluar selepas 6 jam



PUTRAJAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi keterangan lebih 6 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu meninggalkan bangunan SPRM pada 7.13 malam menaiki kenderaan Vellfire putih.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 1.05 tengah hari tadi dengan ditemani peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer.

Rayer mengesahkan Lim dipanggil sebagai saksi dalam siasatan ke atas projek terowong dasar laut.


Loading...

Katanya, Lim hadir walaupun kurang sihat dan mempunyai sijil cuti sakit untuk hari ini serta esok.

“Memandangkan kami telah terima notis untuk hadir, kami telah bekerjasama,” katanya selepas keluar dari ibu pejabat SPRM malam ini.

Beliau berkata, SPRM meminta Lim kembali memberi keterangan pada 10 pagi Sabtu ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan Pulau Pinang dan bekas pemimpin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan ke atas projek itu.


Loading...

Awal bulan ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan ke atas projek RM6.3 bilion itu berkaitan dakwaan pengubahan wang dan dijangka selesai dalam 2 hingga 3 minggu.

Katanya, tanggapan kes itu sudah ditutup tidak betul kerana siasatan berterusan sejak 2017.

Beliau berkata, SPRM sudah mengambil keterangan 32 orang sehingga kini dan mahu menemubual 10 hingga 15 individu lagi.

Setakat ini, seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ditahan dan 3 syarikat diserbu dalam siasatan ke atas projek itu. – FMT




Loading...






Join our Telegram Channel
Telegram