Guan Eng tak boleh didakwa semula atas kesalahan sama, kata pemimpin DAP



PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP berkata, bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak boleh didakwa semula atas kesalahan sama berhubung pembelian banglonya pada 2015 kerana ia akan menjadi tidak berperlembagaan.

Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang individu tidak boleh didakwa semula atas kesalahan sama, kecuali sabitan atau pembebasan itu dibatalkan dan perbicaraan semula diarahkan mahkamah lebih tinggi.

“Oleh itu, walaupun bukti baru muncul, Lim tidak boleh didakwa semula hasil daripada siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah “tidak masuk akal” untuk menyiasat kes itu lebih lanjut.


Beliau berkata demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan hari ini dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas membuka semula siasatan kes pembelian banglo Lim, jika ada bukti baru.

Ramkarpal berkata, SPRM boleh menyiasat, tetapi ia dilarang daripada meneruskan pendakwaan terhadap Lim dalam kes banglo itu.

Pada 30 Jun 2016, Lim didakwa menggunakan kedudukan awamnya untuk mendapatkan suapan bagi diri dan isterinya, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian bagi tujuan perumahan dalam mesyuarat exco negeri pada 18 Julai 2014.

Beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta, lebih rendah daripada harga pasaran sebanyak RM4.7 juta ketika itu.


Phang didakwa bersubahat dengan Lim.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi George Town melepas dan membebaskan mereka pada 3 Sept 2018, selepas peguam negara menggugurkan pertuduhan itu.

SPRM yang terkejut dengan keputusan mahkamah membebaskan Lim dan Phang, berkata cadangan itu dibuat Jabatan Peguam Negara, bukannya agensi anti-rasuah berkenaan. – FMT

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram