Sri Ram beritahu wang dalam akaun sudah cukup untuk dakwa Najib, kata Apandi



PETALING JAYA: Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berkata, pendakwa raya ad hoc dalam perbicaraan kes 1MDB Najib Razak, Gopal Sri Ram mencadangkan bahawa penemuan wang di dalam akaun bekas perdana menteri itu sudah mencukupi untuk mendakwa beliau.

Dalam afidavit menyokong permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan tersebut, Apandi berkata, beliau terkejut dengan keadaan itu.

“Saya terkejut berhubung sikapnya yang menampakkan pendekatan yang tidak munasabah, terutama sekali apabila ia datang daripada bekas hakim mahkamah tertinggi dan peguam ternama yang selalu bercakap mengenai perbicaraan yang adil,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.

Apandi berkata, beliau juga dididik bahawa pendakwa yang baik tidak akan mendakwa mana-mana orang tanpa mengambil kira kenyataan dan keseluruhan struktur cadangan pembelaannya.

Loading...

“Jadi saya menjawab bahawa dari segi kes wang RM2.6 bilion yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wujud penjelasan yang mencukupi oleh tertuduh yang memuaskan hati agensi penyiasat itu.

“Saya juga berkata, SPRM membuat 2 kenyatan akhbar yang melepaskan Najib daripada dakwaan salah laku,” katanya.

Apandi, yang mengesahkan dokumen itu kepada FMT berkata, Sri Ram juga mengejutkannya dengan berkata, pendakwa tidak perlu mempedulikan pendirian pembelaan.

Beliau mendakwa, Sri Ram memberitahunya bahawa pendakwa hanya memerlukan keterangan prima facie mengenai sesuatu jenayah, dan tertuduhlah yang perlu menjelaskannya di mahkamah.

Loading...

Apandi juga mendakwa, Sri Ram berkata, walaupun SPRM melepaskan suspek, namun pendakwa raya perlu mendakwa individu berkaitan sekiranya kenyataan saksi menunjukkan wujudnya kes.

“Saya tidak pernah mendengar pandangan yang begitu berat sebelah datang dari mulut seseorang yang dianggap berpengalaman,” katanya.

“Saya merumuskan bahawa Sri Ram mempunyai misi yang jelas berat sebelah terhadap Najib dalam semua kes beliau.”

Apandi berkata, beliau tidak membalas kenyataan Sri Ram, dan beliau “tergamam” apabila mengetahui Sri Ram kemudiannya dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Minggu lepas, dalam hantaran di Facebook, Apandi mendakwa bahawa beliau diminta oleh Sri Ram supaya menahan Najib berhubung kesalahan yang tidak dinyatakan pada 2018.

ARTIKEL BERKAITAN:

Katanya, Sri Ram memberitahunya bahawa arahan penahanan itu datang daripada ketua pembangkang pada masa itu, iaitu Dr Mahathir Mohamad.

Sri Ram enggan memberi komen.

Apandi digugurkan daripada jawatannya selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Mahathir menguasai kerajaan persekutuan berikutan pilihan raya umum Mei, 2018.

Pada Januari 2016, Apandi melepaskan Najib daripada dakwaan salah laku berkait wang yang ditemui dalam akaunnya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram