Apandi: Ini adalah pendedahan pertama, banyak lagi cerita lain



Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang membuat tuduhan menggemparkan semalam melibatkan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan bahawa ini hanyalah permulaan untuk lebih banyak siri pendedahan yang akan dilakukan.

Apandi, dalam catatan Facebook ‘Prelude to a chapter in my memoirs!’ Pada jam 8.08 malam, mendakwa bahawa Sri Ram dihantar oleh Dr Mahathir untuk membincangkan langkah untuk menangkap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Apandi mengatakan kepada Twentytwo13 bahawa beliau mempunyai “banyak benda untuk diperkatakan”, sambil menambah "anda akan membacanya di dalam catatan memoir saya".

"Bab ini mengenai Sri Ram hanyalah sebahagian kecil daripada cerita saya. Terdapat banyak perkara lain seperti Insiden Pulau Batu Puteh ... mengapa Dr Mahathir menarik balik kes itu pada saat-saat akhir walhal semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran kes.”


Loading...

"Banyak, banyak cerita....Banyak yang perlu ditulis, banyak yang boleh diceritakan.”

Apandi memberitahu bahawa beliau membuat kenyataan hari ini kerana beliau mahu orang ramai mengetahui kebenaran.

TS Apandi menulis bahawa beliau telah bertemu Sri Ram dan seorang peguam muda Cina di rumahnya pada Januari 2018 di mana Sri Ram mendakwa "dia mempunyai agenda yang lebih besar" dan bahawa Dr Mahathir mahu Apandi menangkap Najib.

Ketika ditanya mengapa dia membuat kenyataan sekarang, Apandi berkata: “Kerana saya mendapati Gopal Sri Ram berperangai seolah-olah dia adalah AG. Dia bukan AG. Dia berperanan lebih besar dari sepatutnya. Itu sahaja.”

"Saya tidak berdendam dengannya, tetapi masyarakat perlu tahu."


Loading...

Ditanya sama ada peguam muda Cina itu dikenali dengan huruf pangkal namanya dan memandu kereta-kereta mewah, Apandi mengiyakannya.

"Ini adalah pendedahan pertama. Tidak ada sesiapa yang tahu perkara ini sebelum ini.”

Ditanya apakah dia tidak takut menanggung akibat hasil pendedahannya, Apandi berkata: "Apa akibatnya? Saya hanya menyatakan kebenaran dan tidak takut menyatakan kebenaran. Dan semuanya dirakam. Sekiranya anda membaca catatan saya, saya mempunyai CCTV dan saya mempunyai pengawal peribadi ketika kejadian. "

Apabila diberitahu bahawa rakaman kamera litar tertutup tidak mempunyai audio, Apandi menjawab: "Semua adalah. Saya mempunyai tujuh pengawal peribadi dan mereka semua dari (polis) Cawangan Khas. Semuanya dirakam.”

Keratan hantaran pendedahan yang dibuat oleh Apandi Ali berkenaan arahan Mahathir melalui Gopal Sri Ram untuk menangkap Najib Razak.

Terjemahan tulisan Apandi di Facebooknya semalam boleh rujuk di sini.

Apandi memberitahu Twentytwo13 bahawa beliau belum mempunyai perancangan untuk membuat laporan polis.

"Saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Simpan kata-kata saya ini! Saya tidak takut sesiapapun melainkan Allah. "

Apandi juga menolak kenyataanya itu sebagai tindakan bermotif politik, dengan menekankan dia tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan UMNO.

Apandi dilantik sebagai AG semasa Najib memegang jawatan tetapi digantikan oleh Tommy Thomas setelah Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

Gabungan Barisan Nasional pimpinan UMNO mengalami kekalahan mengejutkan dalam pilihan raya tersebut kerana Najib didakwa terlibat di dalam beberapa kes berprofil tinggi, iaitu SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


"Saya ingin merekodkan di sini bahawa saya memutuskan hubungan saya dengan UMNO sejak saya menjadi pesuruhjaya kehakiman pada tahun 2003. Sebagai hakim, saya tidak boleh mempunyai perkaitan dengan mana-mana parti politik."

Apandi disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2007 dan bertugas di Kuala Lumpur. Dia dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan pada 30 September 2013, dia dinaikkan ke Mahkamah Persekutuan. Dia menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara pada tahun 2015.

“Mereka (pengkritik) terus menerus membangkitkan hal ini. Sedangkan Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof) adalah ahli PAS dan pernah bertanding sebagai calon PAS (pada pilihan raya 2004), tak ada pula sesiapa yang mempersoalkannya. Mengapa jadikan saya sebagai mangsa?"

Diterjemahkan oleh: Nabeel Naqie

ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram