Warga emas disamun, dipaksa bogel, cuba rogol tapi gagal



Iskandar Puteri: Seorang wanita warga emas dicabul dan disamun di rumahnya di Taman Skudai, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, suri rumah berusia 65 tahun itu sedang tidur sebelum terdengar bunyi seperti orang sedang membuka tingkap biliknya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, warga emas itu terkejut apabila mendapati seorang lelaki bangsa asing berkulit gelap yang hanya berseluar dalam sedang berdiri di hadapan katilnya sambil memegang sebatang besi.

"Suspek kemudian mengarahkan warga emas itu supaya diam dan menanggalkan pakaian kerana mahu merogolnya.


"Mangsa yang dalam ketakutan hanya menuruti apa yang disuruh sebelum suspek cuba untuk merogolnya, namun tidak berjaya.

"Suspek kemudian memaksa mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 lalu beredar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, susulan kejadian, polis berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun dipercayai suspek utama.

Katanya, dua lagi warga Myanmar berusia 21 dan 26 tahun yang dipercayai bersubahat juga ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian ketika melarikan diri.


"Kesemua tiga warga asing itu adalah buruh binaan dan ditahan 2.30 petang, tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai digunakan untuk tujuan samun antaranya sebatang besi, besi pengumpil, sehelai boxer berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun bersenjata , Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Kesemua suspek akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru untuk proses permohonan tahanan reman. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram