Hukum kebiadapan Faiz jika Bersatu hormat sokongan Umno, kata Armand



PETALING JAYA: Pemimpin Umno hari ini mendesak pucuk pimpinan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin supaya mengambil tindakan tegas terhadap “kebiadapan” Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Muhammad Faiz Na’aman, yang mendakwa “kluster mahkamah” sebagai binatang politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan Faiz itu secara terang-terangan ditujukan kepada pemimpin Umno walaupun ia tidak menyebut nama secara jelas.

“Kalau pemimpin mahkamah ini tidak menyokong kerajaan PN (Perikatan Nasional), tidak mungkin presiden Bersatu menjadi perdana menteri dan enam Ahli Parlimen Umno ini (kluster mahkamah) juga menyokong Bajet 2021 dengan undi 111/108,” kata beliau kepada pemberita ketika hadir menyerahkan memorandum di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Kata beliau, sekiranya pucuk pimpinan Bersatu tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Faiz, ia secara tidak langsung mengizinkan kenyataan itu.


“Jika enam orang ini tidak menyokong daripada 111 hanya tinggal 105 undi dan kerajaan PN telah jatuh sejak Dis 2020 lagi… tapi mereka sokong ini menunjukkan betapa besar hatinya pemimpin Umno untuk hormati kerjasama politik dalam PN.

“Kita minta kepimpinan Bersatu ambil tindakan jika mereka hormati sokongan yang diberikan oleh Umno. Kalau tiada tindakan, bermakna mereka tak hormat sokongan Umno kepada kerajaan PN,” kata beliau.

Armand turut memberi tempoh sehingga mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 25 April ini untuk Faiz dikenakan tindakan.

Diminta mengulas laporan polis yang dibuat Faiz terhadapnya semalam berhubung dakwaaan menyiarkan tangkap layar hantaran di Twitter dengan memaparkan nombor telefonnya secara terbuka, Armand berkata pihaknya bersedia berdepan tindakan polis kerana yakin berada di pihak yang benar.

“Pemimpin Umno tak takut dan tak gentar dan beliau (Faiz) kena bertanggungjawab atas laporan polis beliau.


“Cuba lihat di Facebook beliau, semua kenyataan beliau ada nombor telefon beliau yang disebarkan sendiri,” katanya sambil menyifatkan Faiz sebagai pemimpin tidak matang atau “bodoh” dalam berpolitik.

Sebelum ini Faiz dilaporkan berkata, selain ancaman Covid-19, “kluster mahkamah” adalah binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

Beberapa hari kemudian, beliau menjelaskan kenyataan mengaitkan “kluster mahkamah” itu dengan pemimpin parti politik tertentu hanyalah spekulasi.

Beliau menepisnya sebagai tafsiran masing-masing, kerana beliau tidak menyebut nama mana-mana individu atau parti politik ketika menggunakan istilah itu.

Kenyataan Faiz itu dibidas Armand, yang mengibaratkan Faiz sebagai “anjing salakan” politik Bersatu. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram