DAP dedah Dr M umum ratifikasi ICERD atas syor Saifuddin


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) ketika di Perhimpunan Agung PBB berdasarkan syor yang dibuat menteri luar ketika itu, Saifuddin Abdullah.

Perkara itu dinyatakan bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong dalam buku terbarunya, Lim Kit Siang: Patriot. Leader. Fighter.

Apa yang dinyatakannya dalam buku itu bertentangan dengan pendirian Saifuddin bahawa dia tidak bertanggungjawab terhadap usaha ratifikasi Icerd yang akhirnya menjadi isu melibatkan kaum dan menjejaskan pentadbiran PH.

Saifuddin sebaliknya berkata usaha ratifikasi Icerd - yang dikendalikan kementeriannya pada masa itu - terkandung dalam manifesto PH dan ucapan Dr Mahathir ketika Perhimpunan Agung PBB pada 2018.


Bagaimanapun Liew berpandangan bahawa Mahathir memberikan ucapan itu disebabkan Saifuddin.

"Berdasarkan syor oleh menteri luar Saifuddin, perdana menteri mengumumkan dalam perhimpunan agung PBB pada 28 September yang Malaysia akan menjadi penandatangan Icerd," katanya.

Pada 14 April lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyatakan Icerd tidak disebut dalam manifesto PH, tetapi hanya menyatakan akan meratifikasi perjanjian antarabangsa yang dilihat “sesuai”.

Menurut Liew lagi, susulan pengumuman Mahathir, pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin pun - yang dilihat sebagai seorang yang progresif - melihatnya dari sudut kaum.

"Dalam reaksi segera, pemimpin Umno yang dikatakan progresif, Khairy menjadi orang pertama yang membayangkan konvensyen PBB itu mengancam orang Melayu," katanya lagi.


Katanya lagi, Umno dan PAS menggunakan isu tersebut untuk menubuhkan Muafakat Nasional dan terus membangkitkannya sehinggalah Mahathir menarik balik keputusan ratifikasi pada November.

Segelintir pihak bimbang Icerd akan membuatkan Malaysia perlu mematuhi kesamarataan yang akhirnya menjejaskan hak istimewa orang Melayu.

Ia di sebalik hakikat yang Icerd membenarkan mana-mana negara memasukkan klausa pengecualian ketika meratifikasinya.

Pembangkang ketika itu menggunakan isu tersebut untuk meraih sokongan dan dilihat sebagai permulaan kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap PH. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram