PILU: Guna tubuh lindungi ibu dari ditikam, sempat ucap syahadah sebelum meninggal dunia



Baru-baru ini, masyarakat London dikejutkan dengan berita seorang remaja lelaki bernama Hussain Chaudhry dilaporkan meninggal dunia sewaktu melindungi ibunya daripada ditikam perompak.

Kejadian itu berlaku di hadapan rumahnya yang terletak di Lea Bridge Road, Walthamstow pada hari Rabu lalu.

Memetik laporan The Sun, keluarga tersebut menjual pakaian secara atas talian. Pada hari kejadian, dua orang remaja datang ke rumah mereka ‘kononnya’ ingin melihat dan membeli barang jualan.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila mereka cuba untuk mencuri pakaian yang dijual.


Jadi, berlakulah pergaduhan di mana ahli keluarga berusaha melindungi diri daripada penjenayah tersebut tambahan lagi apabila mereka mengeluarkan pisau.

Sewaktu bergelut antara satu sama lain, Hussain cuba menghalang dan melindungi ibunya dari ditikam oleh kedua-dua penjenayah itu.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila pisau yang tajam tersebut ditusuk ke lehernya. Lantaran itu, dia rebah sambil memegang luka di lehernya.

Difahamkan lagi selepas kejadian berkenaan, ibu dan abangnya telah ditemui oleh orang ramai dengan kesan hirisan pada tangan mereka.

Sejurus itu, mereka dikejarkan ke hospital dengan segera, namun tidak mengalami kecederaan parah. Malangnya, Hussain menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.


Rentetan dari peristiwa itu, kakaknya, Afia Ahmed Chaudry meluahkan perasaan sedih bagi mengenang pemergian adik kesayangannya menerusi Twitter.

“Semalam, adik lelaki saya meninggalkan dunia dalam dakapan ibu kami, sama seperti keadaan sewaktu dia baru lahir ke dunia.

“Dia maut melindungi keluarganya. Matanya bersinar, wajahnya tidak menunjukkan sebarang kesakitan, dia berada dalam ketenangan.

“Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Awak dah tiba di ‘rumah’, dik. Kami akan berjumpa awak tak lama lagi,” tulisnya sayu.

Selain itu, seorang kenalan @Faizavelli mendedahkan sewaktu kejadian meskipun Hussain sedang bertarung nyawa menahan kesakitan selepas ditikam, dia cuba menguatkan diri untuk menenangkan ibunya semasa dalam dakapan ibunya.


“Hussain seperti singa. Sewaktu ajalnya makin hampir dia sempat berkata kepada ibunya, ‘jangan risau ibu, panggil sahaja ambulans’. Kemudian dia mendongakkan kepala, merenung ke syurga (langit) dengan penuh tenang dan mengucap syahadah buat kali terakhir,” ujarnya.

Berkongsi cerita tentang keperibadian Hussain sewaktu hayatnya, seorang lagi individu @ruqaiya_h mengatakan dia merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah tinggal solat.

“Dia tak tinggal solat dan sangat rapat dengan semua ahli keluarga. Dia merupakan seorang pelajar jurusan undang-undang di Universiti SOAS. Keluarganya pula adalah golongan baik-baik dan suka menjemput sesiapa sahaja datang ke rumah,” tambahnya lagi.

Berikutan berita sedih pemergian salah seorang pelajarnya, Universiti SOAS telah melancarkan tabung amal untuk membina sebuah perigi sebagai satu amal jariah berterusan buat arwah Hussain.

Sehingga kini, kes pembunuhan tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan kedua-dua penjenayah berkenaan sedang diburu. – Borakdaily














Join our Telegram Channel
Telegram