Najib persoal pemberian laptop kepada 150,000 pelajar sekadar pinjaman macam buku teks



PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan pemberian komputer riba kepada 150,000 pelajar adalah sekadar satu pinjaman.

Najib dalam kenyataan semalam meluahkan sedih dan kecewa apabila menerima berita bahawa 150,000 komputer riba yang dijanjikan di dalam Belanjawan 2021 itu hanyalah dalam bentuk pinjaman.

“Rupanya "pemberian" 150,000 komputer riba seperti diumum kerajaan PN dalam bajet 2021 bukan pemberian tetapi adalah skim pinjaman seperti skim pinjaman buku teks sekolah.” katanya.

Najib juga mendedahkan pelajar perlu memulangkan komputer riba tersebut sama seperti sistem yang diguna pakai untuk buku teks sekolah selain hanya layak untuk pelajar di beberapa negeri sahaja, buka untuk pelajar di seluruh Malaysia.


Malah pelajar atau ibu bapa akan dikenakan denda RM300 jika komputer riba tersebut hilang atau rosak.

“Komputer tetap milik kerajaan dan denda RM300 akan dikenakan jika komputer hilang atau rosak.

“Ianya juga terhad kepada Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah, dan Sarawak sahaja.” dedah Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata sewaktu Barisan Nasional menjadi kerajaan, gabungan parti itu telah memperuntukkan 1.7 juta komputer riba untuk diberikan secara percuma, bukan dipinjam kepada pelajar dan guru-guru sekolah.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan tidak meneliti cadangannya yang membolehkan pemberian komputer riba sebanyak 2 juta unit dapat disalurkan kepada pelajar secara percuma.


“Jika dulu kerajaan BN mampu beri (bukan pinjam) 1.7 juta netbook 1Malaysia kepada murid-murid sekolah dan guru, kenapa kerajaan PN tak gunakan kaedah yang saya saran hari itu untuk memberi 2 juta notebook kepada murid-murid sekolah untuk menghadapi pembelajaran atas talian dalam pandemik Covid ini?” soal Najib.

Sebelum ini Najib menjelaskan kerajaan Barisan Nasional telah mewujudkan Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi.

Semua syarikat telco besar di dalam negara diarahkan menyumbang sekitar RM2 bilion setiap tahun kepada tabung tersebut dan sebanyak RM8 bilion telah ditinggalkan oleh kerajaan BN dalam tabung tesebut semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Najib mencadangkan agar dana dari tabung tersebut digunakan untuk memberi bukan sahaja 2 juta komputer riba, malah bersama dengan pakej internet percuma kepada pelajar-pelajar yang terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid.


“Syarikat-syarikat telco juga tidak akan membantah kuat sebab mereka berpeluang menaikkan pendapatan dengan tambahan 2 juta pelanggan pakej internet yang diberi bersama komputer.” tambah Najib lagi.

Pada 6 Nov lepas, seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis dilaporkan akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Bagi merealisasikan bantuan berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta yang akan disalurkan ke Tabung Cerdik.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berkata, bagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), kerajaan akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba. – FMT / Cinca





Join our Telegram Channel
Telegram