Covid-19: Hotel Equatorial umum penutupan operasi



GEORGETOWN - Pengurusan Hotel Equatorial Pulau Pinang mengumumkan pemberhentian operasi hotel terkemuka bertaraf lima bintang tersebut bermula pada 31 Mac ini setelah beroperasi sejak tiga dekat lalu.

Penutupan hotel tersebut disahkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh pengurus besarnya, Alan HC Ong yang tular di media sosial sejak Selasa.

Menurut kandungan surat tersebut, pemberhentian operasi hotel berkenaan dibuat selepas mengambil kira keadaan perniagaan yang dihadapi oleh pihak pengurusan susulan penularan wabak Covid-19.

"Pengumuman ini adalah satu berita yang sukar, namun keadaan perniagaan semakin meruncing akibat Covid-19. Tarikh beroperasi untuk orang ramai belum diputuskan, namun ia sebelum 31 Mac.


"Pada waktu ini sehingga secara rasminya operasi hotel ditutup, semua pekerja masih berstatus pekerja (hotel) dan semua warga hotel akan tetap komited untuk menjaga nama hotel yang sangat terkenal ini," katanya.

Menurut surat itu lagi, walaupun pihak pengurusan mengalami kerugian, faedah pesara kepada pekerja hotel tetap akan dibayar, namun perinciannya akan diumumkan kemudian.

"Pihak pengurusan berusaha untuk mematuhi semua tanggungjawabnya kepada semua pekerja yang terkesan, bersesuaian dengan terma dan syarat pekerjaan mereka," katanya.

Hotel Equatorial merupakan hotel pertama yang akan menamatkan operasinya selepas tiga buah hotel di Pulau Pinang mengambil tindakan sama pada tahun lalu susulan penularan wabak Covid-19.


Hotel yang terletak di Bukit Jambul itu mempunyai 662 bilik dan merupakan hotel lima bintang pertama yang terletak di selatan Pulau Pinang.

Sementara itu, salah seorang pekerja hotel tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Nina berkata, dia dan rakan sekerjanya perlu menerima keputusan tersebut walaupun ia agak berat untuk dihadapi.

Katanya, dia memahami keadaan yang dihadapi pihak pengurusan dan bersyukur kerana soal kebajikan pekerja tidak diabaikan oleh majikannya. – Sinar





Join our Telegram Channel
Telegram