Dua pendakwah terkenal Kelantan Ustazah Wan Norazam Abdul Aziz dan Ustaz
Shamsul Zaman Shukri dikenali dengan ‘Ustaz Budak’ mengejutkan banyak pihak
apabila mereka muncul di dua majlis berasingan bersama Amanah malam tadi.
Dalam majlis ringkas di sebuah restoran terkenal di Kota Bharu Wan Norazam
secara rasmi menyerahkan borang permohonan menyertai Amanah kepada timbalan
ketua Awan Kelantan Norashidah Jaafar.
Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman berceramah di pentas Amanah
malam tadi. Majlis yang disertai ahli-ahli jawatankuasa Awan negeri itu
disaksikan oleh isteri penasihat Amanah Kelantan, Datin Ruhana Abdul Rahman.
Bercakap kepada media sempena majlis itu, beliau yang pernah memegang jawatan
timbalan bahagian Halaqat jabatan hal ehwal Islam negeri Kelantan berharap
penyertaan beliau dapat memberi sumbangan untuk memperkukuhkan parti Amanah.
“Insya Allah, saya berharap akan dapat menyumbang tenaga dan fikiran bagi
menjayakan cita-cita murni sebuah parti Islam yang berusaha meneruskan
perjuangan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini,” katanya.
Berkenaan sebab mengapa beliau meninggalkan parti lamanya, Norazam berkata
parti itu kini dikuasai oleh kumpulan yang tidak lagi membela rakyat
sebaliknya masing-masing menumpukan agenda peribadi.
“Saya kenal mereka dan saya tahu gelagat mereka semasa almarhum masih ada lagi
dan ketiadaan tok guru seolah-olah dinanti-nanti untuk menzahirkan perangai
sebenar masing-masing,” katanya.
Dalam majlis berasingan Ustaz Budak muncul secara mengejut dalam satu majlis
ceramah yang dihadiri penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa di kampung
Buluh Melintang, Chetok Pasir Mas malam tadi.
Kemunculan beliau segera menggemparkan dunia siber apabila ceramahnya yang
disiarkan secara langsung menerusi facebook mendapat capaian melebihi 100k.
Komen-komen positif dan negatif terus menular dari pelbagai pihak yang
masing-masing terkejut dan seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku.
Seorang yang menggunakan nama Halim Che Adnan membuat tuduhan kononnya ‘ustaz
budak’ diberi habuan besar dan tidak dilayan dengan baik oleh pihak Pas.
“Cerita sebenar dapat duit dengan Huse (Husam) 30k, pah tu nak marah ko
(kepada) pimpinan negeri sebab tak bagi dia mengajar di medan ilmu Kota
Bharu,” katanya Halim dalam status facebooknya semalam.
Bagaimanapun di laman pemuda Amanah Kelantan yang menyiarkan secara langsung
ceramah beliau dipenuhi komen-komen menyokong dan memuji tindakan beliau
bersama Amanah.
“Terbaik ustaz budok. Dengar dia kecek (ceramah) teringat ko (kepada) tok guru
(Nik Abdul Aziz Nik Mat),” kata facebooker yang menggunakan nama Sufyan
Zahari.
Badri Al-Utaibi Al-Desouky pula memberi komen, ” Ustaz budak bersama
Amanah…Alhamdulillah.”
Penyertaan dua tokoh pendakwah terkenal Kelantan ini dijangka akan memberi
impak besar kepada perkembangan Amanah khususnya di Kelantan.
Ustazah Wan Norazam yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Pas
satu ketika dahulu termasuk ketua penerangan muslimat Pas Kota Bharu merupakan
pendakwah gigih yang amat dikenali di seluruh Kelantan.
Nama ustaz budak pula telah menjadi buah mulut masyarakat Kelantan semua
peringkat dari golongan kanak-kanak hingga ke warga emas sejak sekian lama.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Ustaz Budak sertai Amanah teruskan perjuangan Nik Aziz
- [Video] Ustaz Budak nafi join PAN, istiqamah dengan PAS sampai mati
- Ustaz Budak didakwa cium, cabul lelaki
- Ustaz Budak ditahan lagi, dua laporan baru diterima polis
- Cabul: Ustaz Budak ditahan kali ketiga
- Ustaz Budak berdepan 3 lagi dakwaan jenayah seksual
- Ustaz Budak didakwa lapan lagi pertuduhan cabul pelajar
- Ustaz Budak diperintah bela diri pertuduhan cium, cabul lelaki
Join our Telegram Channel