Anwar dimalukan, Ketua Menteri Sarawak enggan berjumpa



KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilapor memalukan Anwar Ibrahim apabila presiden PKR itu berada di Kuching pada Selasa dengan harapan mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri kesembilan, kata sumber.

Sumber-sumber dari kerajaan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PKR Sarawak memberitahu The Malaysian Insight bahawa Anwar tiba di Kuching menerusi satu penerbangan disewa untuk bertemu Abang Johari.

Tetapi mereka mendakwa Abang Johari enggan bertemu Anwar.

Tidak pasti sebab Abang Johari enggan berjumpa Anwar tetapi satu sumber PKR berkata ia mempunyai kaitan dengan pendirian GPS.


Loading...

“Kenapa Anwar sanggup datang, itu saya tidak pasti. Kita semua tahu apa syarat GPS (jika mahu bersekutu) dan tidak mungkin Anwar akan mendapat sokongan mereka.

“GPS mempunyai dua syarat yang tidak boleh dibincang iaitu tiada DAP dan bukan Anwar sebagai perdana menteri.

“Adakah ini usaha terakhir? Mungkin,” kata sumber itu.

Abang Johari sebelum ini pernah berkata bahawa GPS tidak akan menyokong kerajaan persekutuan jika DAP sebahagian daripadanya.

“Kami tidak boleh bekerja dengan DAP,” katanya.

GPS juga tidak percaya kepada DAP yang mahu membuang mereka dari berkuasa pada pilihan raya negeri.


Loading...

Bagaimanapun Abang Johari tidak pernah membuat kenyataan terbuka bagi menjelaskan sebab GPS tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Kunjungan Anwar ke Kuching disusuli dengan dakwaan pemimpin DAP dan Amanah bahawa beliau gagal mendapatkan sokongan GPS untuk menjadi perdana menteri.

Jika Anwar berjaya mendapat sokongan GPS, Anwar yang sudah mendapat 96 sokongan ahli Parlimen, akan mendapat tambahan 17 sokongan ahli Parlimen dari negeri Borneo itu.

Ini akan menjamin kedudukan beliau untuk menjadi perdana menteri.

Jumlah minimum kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan adalah 112 daripada 222 kerusi Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilihan Anwar jadi PM telah gagal, kata DAP dan Amanah

GPS dibentuk dengan gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), the Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demoktratik Progresif (PDP).

Satu lagi sumber berkata ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Selasa lalu mungkin disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah.

Jet yang membawa Ahli Parlimen Port Dickson itu mendarat selepas helikopter yang membawa Uggah tiba di lapangan terbang yang sama.

Uggah ketika itu baru pulang dari lawatan pemantauan banjir di kawasan Parlimennya di Betong.

Sumber berkata lawatan Anwar itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan parti kerana tiad pemimpin PKR dimaklumkan tentang perkara itu.

“Saya fikir Larry juga tidak tahu,” kata sumber itu merujuk kepada Pengerusi PKR Sarawak yang baharu, Larry Sng.

Loading...

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui juga tidak mengetahui tentang kunjungan Anwar.

Malah Timbalan Ketua Menteri James Masing yang juga Presiden PRS berkata beliau tidak mengetahui tentang kunjungan itu.

Kunjungan Anwar untuk melobi Abang Johari berlaku ketika Pakatan Harapan bersedia untuk mendapatkan semula kuasa sama ada menerusi pilihan raya awal atau perubahan kerusi Parlimen.

PKR ketika ini bertelagah dengan sekutunya dalam Pakatan, DAP dan Amanah yang mahu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri bagi berdepan Perikatan Nasional dalam pilihan raya.

PKR bagaimanapun menolak sebarang usul menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Namun parti itu terbuka untuk berbincang dengan semua parti termasuk Dr Mahathir bagi menyelamatkan negara. – MalaysiaInsight



Join our Telegram Channel
Telegram