Peralihan kuasa di Kedah dijangka Isnin ini – Sanusi



Ketua Pembangkang Kedah Muhammad Sanusi Mohd Noor menjangkakan proses peralihan kuasa di negeri itu akan berlangsung paling lambat Isnin depan.

Jangkaan itu dilaporkan oleh media rasmi PAS Harakahdaily, selepas 23 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mengadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Badlishah pagi ini.

“Sanusi menjangkakan proses peralihan kerajaan ini selesai paling kurang pada 18 Mei ini,” lapor Harakahdaily.


Loading...

Portal itu juga melaporkan Perikatan Nasional (PN) dijangka mula mentadbir negeri apabila majlis angkat sumpah menteri besar yang baru dikatakan akan berlangsung pada masa terdekat.

PAS Kedah, yang mempunyai sokongan terbanyak daripada blok PN, mendakwa memperoleh sokongan 23 daripada 36 Adun, termasuk daripada dua Adun bebas dan empat wakil Bersatu.

Setakat kelmarin, Mukhriz Mahathir mengaku beliau masih menteri besar yang sah selagi PN belum membuktikan majoritinya secara rasmi.

Sementara itu, Harakahdaily juga melaporkan proses mengadap 23 Adun itu pagi ini berjalan lancar.

Sanusi, yang dikatakan calon menteri besar PN, antara yang terawal dipanggil mengadap, disusuli Adun lain secara berkumpulan.


Loading...

“Beliau dilihat keluar dari Wisma Darul Aman dan tidak memberi sebarang kenyataan,” menurut laporan itu lagi.

Setiap ADUN yang hadir pagi ini, tidak dibenarkan memberi apa-apa kenyataan kepada media, menurut laporan itu lagi.

Menurut sumber akhbar itu, pada sesi petang, sultan akan menerima mengadap Adun PH pula, termasuk Mukhriz.

Sultan dilapor akan menerima mengadap kesemua Adun Kedah hari ini.

Pergolakan di Kedah berlaku susulan pertembungan di peringkat pusat apabila Mukhriz, seperti Pengerusi Bersatu Mahathir Mohamad yang juga bapanya, menolak kerjasama dengan PN. – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram