MP DAP jangan derhaka keputusan Agong – Sulaiman

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bergambar Hari Raya di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka di Seri Bendahara, bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali dan barisan exco-exco di sini hari ini. Foto–FB Ab Rauf Yusoh

KETUA Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berharap rakyat negeri ini menghormati dan taat kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan pengganti Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketika dihubungi hari ini, Sulaiman berkata, setiap keputusan baginda wajar ditaati dan orang ramai, khususnya rakyat Melaka, jangan sesekali menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya menghormati dan mengalu-alukan pandangan semua pihak, cuma jangan sesekali derhaka kepada setiap keputusan baginda (Yang di-Pertuan Agong).


Loading...

"Tuanku Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak mutlak dalam membuat keputusan berkaitan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP Khoo Poay Tiong menerusi satu portal berita hari ini, yang meminta kerajaan negeri menjelaskan khabar angin mengenai pengganti Mohd Khalil.

Isu pengganti Mohd Khalil menarik perhatian termasuk di media sosial sejak dua minggu lalu yang mana ia turut mengaitkan nama bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam, sebagai pengganti.


Loading...

Selain Mohd Ali, nama lain yang disebut-sebut adalah bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor serta bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) Zahid Md Arip.

Mohd Khalil, 82, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Khidmat Mohd Khalil untuk penggal keempat disambung semula pada 27 Mei 2016 sehingga 4 Jun ini. – HMetro

Join our Telegram Channel
Telegram