Tok Mat serah gaji dan elaun 6 bulan bantu rakyat



Timbalan Presiden Umno merangkap Adun Rantau, Mohamad Hasan akan menyumbangkan semua gaji dan elaun selaku wakil rakyat selama enam bulan kepada pusat khidmat DUNnya bagi membantu meringankan beban sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa semalam.

Ini selepas dia menggesa langkah kerajaan pusat menyumbangkan tiga bulan gaji menteri dan timbalan menteri kepada Akaun Amanah Bencana mesti disusuli sumbangan elaun dan imbuhan keraian yang dinikmati mereka.

"Saya akan meminta kerajaan negeri untuk memasukkan semua gaji dan elaun saya ke akaun yang akan diuruskan oleh Pusat Khidmat DUN Rantau untuk kegunaan penduduk di DUN itu.


"Selama ini pun di Pusat Khidmat kita memang ada membantu rakyat yang memerlukan dari segi keperluan, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Kata Mohamad, dia akan menulis surat kepada bahagian protokol kerajaan negeri bagi memaklumkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

Pada Isnin, ketika mengumumkan pakej bantuan Pemerkasa Plus bernilai RM40 billion, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Gaji tersebut akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.


Langkah sama turut diambil kerajaan pada Mac tahun lepas susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0, tetapi pada masa itu ia melibatkan dua bulan gaji untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Kerajaan sepatutnya sudah lama mempamerkan kepemimpinan melalui teladan dalam krisis yang genting seperti Covid-19, kata Mohamad.

"Janganlah sekadar gaji. Ia mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para menteri.

"Kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan," katanya di Facebook semalam. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram