Lockdown: Ada syarikat perkhidmatan tak penting dapat lampu hijau Miti



Beberapa syarikat perkhidmatan tidak penting melepasi proses pemeriksaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Proses permohonan kepada Miti itu bertujuan membolehkan perniagaan yang dibenarkan dapat beroperasi sepanjang tempoh 'total lockdown' dengan pelaksanaan PKP penuh bermula semalam.

Secara rasmi, hanya ada 17 sektor yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh ini, kebanyakannya dengan jumlah kakitangan yang dikurangkan.

Syarikat-syarikat ini perlu memohon melalui sistem pengurusan pintar Covid-19 yang tidak stabil (Cims 3.0) Miti untuk mengemukakan permohonan mereka, menunggu kelulusan dan akhirnya memuat turun surat yang mengandungi kod QR yang boleh digunakan oleh kakitangan untuk meninggalkan rumah mereka untuk bekerja.


Pun begitu, terdapat banyak tuduhan di media sosial bahawa terdapat syarikat yang tidak memenuhi kriteria perkhidmatan penting namun telah menerima lampu hijau daripada Miti.

Seorang pemilik perniagaan dari sebuah negeri Pantai Timur membuat hantaran di media sosial semalam, berkata perniagaannya - sebuah studio fotografi - entah bagaimana mendapat kelulusan Cims 3.0.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, pemilik perniagaan itu berkata dia tidak merancang untuk mengemukakan permohonan, dengan mengetahui sepenuhnya bahawa bidang perniagaannya mesti ditutup semasa "total lockdown".

Bagaimanapun, rasa ingin tahunya mendorong permohonannya setelah mengetahui daripada rakan-rakannya bahawa terdapat perniagaan perkhidmatan yang tidak penting yang berjaya mendapat kelulusan Cims 3.0.


"Ini termasuk seorang rakan yang terlibat dalam pembuatan kasut secara kecil-kecilan. Oleh itu, saya memutuskan untuk mencubanya dan melihat apakah saya juga boleh mendapatkan kelulusan.

"Ini termasuk seorang rakan yang terlibat dalam pembuatan kasut secara kecil-kecilan. Oleh itu, saya memutuskan untuk mencubanya dan melihat apakah saya juga boleh mendapatkan kelulusan," kata pengusaha itu menjelaskan dia cuma mahu menunjukkan lompong proses tersebut dan bukan mahu mencari jalan untuk memintas sistem berkenaan.

"Percubaan pertama saya adalah pagi semalam dan saya tidak berjaya. Tetapi ketika saya mencuba lagi malam tadi, permohonan saya diluluskan dan saya menerima surat kelulusan terbaru daripada Miti.

"Oleh itu, saya hanya ingin bertanya kepada pihak berkuasa, bagaimana ini boleh terjadi? Kami berada dalam keadaan total lockdown, dan kami ingin bebas daripada Covid-19," kata pengusaha itu.


Buat perabot pun sektor penting?

Malaysiakini tidak menerbitkan identiti pengusaha terbabit untuk mengelakkan kemungkinan timbul kesan terhadap dirinya.

Pun begitu, Miti telah membalas hantaran di media sosial pengusaha itu untuk memberitahu bahawa surat kelulusannya telah dibatalkan.

Pada contoh lain, Malaysiakini diberitahu oleh pemberi maklumat bahawa syarikat perabot kulit di Klang, Selangor telah mendapat surat Cims 3.0 pada 31 Mei.

Ketika dihubungi semalam, syarikat itu mengesahkan mereka beroperasi seperti biasa. Ketika ditanya kategori perkhidmatan penting mana mereka diklasifikasikan, jurucakap syarikat mengatakan mereka akan mengulas lanjut melalui e-mel. 

Pada masa penulisan, Malaysiakini belum menerima e-mel yang dimaksudkan itu.

Menurut surat kelulusan, syarikat itu disenaraikan sebagai "pengeluar perkakas rumah" dan juga menghasilkan "produk penjagaan diri".

Permintaan untuk komen telah dibuat kepada Timbalan Menteri MITI Lim Ban Hong dan Ketua Setiausaha Kementerian itu Lokman Hakim Ali tetapi belum mendapat penjelasan.

Pembantu Lim memberitahu Malaysiakini bahawa timbalan menteri itu terlibat dalam mesyuarat dan akan memberikan maklum balas kemudian.


'Namakan setiap syarikat dilulus Miti'

Sementara itu, pakar kesihatan awam Dr Mohammad Farhan Rusli memberitahu Malaysiakini, bahawa Miti tidak seharusnya menjadi penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan itu dianggap sebagai perkhidmatan penting atau tidak.

Ini kerana kementerian tersebut memang ditugaskan untuk melindungi perniagaan dan ekonomi, jelasnya.

Menurut Mohmmad Farhan lagi, masalah yang timbul daripada sistem Cims 3.0 menunjukkan pendekatan terpusat melalui Cims 3.0 tidak berkesan.

"Menyerahkan kepada Miti untuk memutuskan (kelulusan perkhidmatan penting) sama seperti mereka melabel setiap sektor dan perniagaan sebagai penting. Ini bukan kesalahan mereka, kerana naratif utama mereka adalah untuk melindungi perniagaan dan ekonomi.

"Di sinilah peranan penting yang perlu dimainkan oleh Kementerian Kesihatan dalam menyediakan matriks yang jelas mengenai operasi industri yang selamat, apakah tujuan dan matlamat jelas yang perlu dicapai oleh sesebuah syarikat itu untuk beroperasi, dan apakah syarat-syarat yang jika dilanggar akan membolehkan penutupan operasinya.

"Menyediakan matriks yang jelas akan membolehkan industri memperhatikan apa yang penting, daripada salah tafsir garis panduan yang kadang-kadang tidak jelas, dan menjadi beban daripada berguna," kata Farhan, yang merupakan pengarah operasi Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor.

Dia mengatakan ini juga masa untuk pihak berkuasa menggunakan sepenuhnya sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (Hide) untuk menyekat sumber wabak.  – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram