Pemberian dos vaksin di Selangor tidak adil – Sultan Selangor



SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini. 

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Selangor Royal Office berkata, Baginda menegaskan adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.


“Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” katanya kenyataan itu hari ini.

Muhamad Munir dalam pada itu berkata, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun 2021 mencecah 203,520 kes dengan jumlah kematian yang amat membimbangkan iaitu 961 kematian sehingga 7 Jun 2021.

Untuk itu katanya, Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

Ujarnya, baginda juga mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar. 


“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri. 

“Baginda menasihatkan kepada rakyat yang telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati,”  tambahnya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram