Najib gelak Wan Saiful sentap asyik dikecam di wall sendiri



Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mendakwa dia diserang ribuan laskar siber Najib Razak jika memuat naik sebarang komen mengenai bekas perdana menteri itu di media sosial.

Pada masa sama Wan Saiful menganggap kritikan Najib terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah usaha untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap isu yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

"Strategi utama Najib ialah divert (mengalih) perhatian kepada isu lain supaya orang lupa apa yang telah dia buat," katanya.

Menurut Wan Saiful lagi Najib juga dilihatnya mahu menonjolkan diri sebagai hero Umno agar ahli parti itu sendiri lupa bahawa mereka kalah dalam PRU lalu kerana kemarahan pengundi kepada ahli parlimen Pekan itu.


"Yang menariknya, setiap kali saya komen mengenai dia, maka beribu cybertroopers datang serang posting saya. Ramai sungguh team Najib Razak ni ya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu juga berkata, dia tidak hairan dengan jumlah laskar siber yang dimiliki Najib.

Najib - yang memang aktif di media sosial - sebelum ini mengkritik beberapa kenyataan Wan Saiful berhubung isu membabitkan sekatan pergerakan penuh yang sedang dilaksanakan.

Ia termasuk pujian Wan Saiful kepada kerajaan kerana melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang dianggapnya berjaya menurunkan jumlah kes positif Covid-19.

Dalam pada itu, Wan Saiful juga mendakwa kini Najib menyembunyikan pembabitan Rosmah Mansor juga sebagai strategi mengalih perhatian masyarakat.


Membalas kritikan Wan Saiful, Najib dalam satu hantaran di Facebooknya menyifatkan bekas calon Bersatu untuk kerusi Pendang di Kedah sebagai mudah 'tersentap' apabila diserang warganet.

"Yang dia sentap pula ialah dia telah dikecam teruk setiap kali dia buat posting oleh ribuan komen netizen yang dia tuduh adalah cybertroper dibayar saya pulak. Siap petik nama isteri saya.

"Silap besar dia ini. Sebab ribuan orang yang maki dia dan boss-boss dia adalah 100 peratus original warga Malaysia yang terpaksa menderita akibat kegagalan bersiri sebuah kerajaan yang sudah berbelanja RM600 bilion dan diberi kuasa penuh darurat selama enam bulan tetapi kesudahannya ialah keadaan Malaysia dan kehidupan rakyat masih kritikal.

"Penderitaan 32 juta Rakyat selama 6 bulan ini dia tak nampak. Yang dia khayal pula ialah cybertrooper Najib?" sindir Najib di Facebooknya.

Tambah Najib lagi, Wan Saiful turut menjaja cerita dongeng kononnya wujud jajaran baru dengan Pakatan Harapan (PH) sedangkan dia adalah penulis buku Manifesto Harapan. – Mkini




 

Join our Telegram Channel
Telegram