Ikan gigi seperti manusia suka gigit anu ditemui



STOCKHOLM, Sweden – Sejenis ikan yang ditakuti kerana kecenderungan menggigit buah zakar perenang ditemui buat kali pertama di perairan Eropah, lapor akhbar Daily Star semalam.

Ikan  pacu  yang merupakan spesies piranha dan mempunyai gigi seperti gigi manusia, biasa ditemui di lembangan sungai di Amazon. Bagaimanapun, laman berita Eropah, Gentside melaporkan, seekor ikan yang digelar ‘pemakan testikel’ itu telah ditangkap oleh nelayan, Einar Lindgreen menggunakan perangkap belut di selatan Sweden baru-baru ini.

Menurut Henrick Carl dari Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Denmark, ikan pacu biasanya tidak berbahaya kepada manusia tetapi gigitannya boleh menyebabkan kecederaan agak serius.


“Terdapat kejadian di negara lain seperti Papua New Guinea di mana beberapa lelaki i hilang buah zakar akibat digigit pacu,” katanya kepada laman  berita Sweden, The Local.

“Ikan ini menggigit kerana lapar dan saiz testikel padan dengan saiz mulutnya,” kata Carl.

Terdapat kemungkinan pacu yang ditemui di Sweden itu dibuang selepas dijadikan ikan peliharaan. Ikan tersebut turut ditemui di Tasik Michigan dan Sungai Torridge di Devon sekali gus jauh dari habitat asalnya.

Apabila pacu Devon ditemui pada 2015, ahli ekologi, Mark Diamond  memberitahu akhbar The Guardian: “Walaupun spesies piranha tidak boleh hidup dalam iklim sejuk di Britain, penemuan ini menggambarkan  isu sebenar iaitu perbuatan membuang ikan  peliharaan atau tumbuhan eksotik ke dalam sungai yang boleh mengakibatkan kesan serius kepada hidupan liar asal.


“Ini kali pertama spesies pacu ditangkap di habitat liar  di rantau Scandinavia.

“Perenang lelaki perlu memakai seluar kerana dibimbangi  terdapat lebih banyak ikan pacu di sungai yang sejuk di luar sana,” kata Peter Rask Møller, juga dari  Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Denmark. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram