Ebit, rombongan belum dapat masuk Gaza



KUALA LUMPUR : Pendakwah dan aktivis masyarakat Ebit Lew dan rombongan bantuan kemanusiannya masih belum boleh memasuki Gaza untuk menyampaikan sumbangan.

Sumber Wisma Putra mengesahkan pendakwah bebas itu masih berada di Kaherah, Mesir.

Beliau berkata Ebit Lew dan rombongan bantuan kemanusiaan Palestin itu setakat hari ini belum berjaya memasuki Gaza.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Ebit Lew juga masih mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa bagi memudahkan urusan kemasukan ke Gaza.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sentiasa berhubung rapat dengan Ustaz Ebit Lew. Laporan berita (minggu lalu) yang mengatakan pihak kedutaan mengesan Ebit Lew adalah tidak tepat kerana kedua pihak sentiasa berhubung.


"Beliau masih berada di Kaherah. Pihak kedutaan dan Ebit Lew masih mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memudahkan pasukannya memasuki Gaza," katanya kepada BH, hari ini.

Ebit Lew dan rombongan bantuan kemanusiaannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan pada hari sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar menjelaskan misi bantuan yang dijadualkan bermula 25 Mei hingga 30 Mei itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Kata Kamaruddin, urusan serta persediaan berkaitan misi itu sudah dirancang serta dibuat oleh Ebit Lew sendiri melalui kerjasama dengan rakan badan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.

Pada 27 Mei lalu, Ebit Lew melalui satu hantaran di Facebook, memaklumkan selamat tiba di Mesir dan membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital di Gaza pada hari terbabit.

Banyak pihak kemudian tertanya-tanya mengenai status keadaannya serta perkembangan misi bantuan kemanusiaan itu selepas Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial selepas tarikh itu sehinggalah beliau memuat naik gambarnya di Facebook serta Instagram, pada Jumaat lalu.


Bagaimanapun Ebit Lew tidak menyatakan lokasi beliau sewaktu memuat naik gambar berkenaan dan sebaliknya meminta masyarakat mendoakan kejayaan misi.

Hantaran di media sosial itu dilihat banyak pihak sebagai bertujuan meredakan kebimbangan masyarakat selepas ada laporan berita kononnya Wisma Putra sedang mengesan keberadaan pendakwah bebas itu.

Pada Rabu lalu, Ebit Lew sekali lagi mengemas kini Facebook untuk mengucapkan selamat hari lahir untuk isterinya.

Dalam hantaran itu, Ebit Lew menyentuh secara umum mengenai misi bantuan berkenaan yang mendapat sokongan penuh isteri dan keluarganya. – Bharian

 

Join our Telegram Channel
Telegram