PANAS: Ahli politik Perikatan Nasional ditahan polis tuduhan cabul peserta ratu cantik



KOTA KINABALU: Polis menahan seorang ahli politik yang didakwa terbabit dalam dakwaan melakukan gangguan seksual dan serangan di sini, hari ini.

Anggota polis, dipercayai dari Jabatan Siasatan Jenayah, muncul di pejabat Phillip Among, ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), ketika beliau bercakap kepada wartawan dalam sidang media pada 12.30 tengah hari tadi.

Among, yang digantung jawatannya sebagai penyelaras Parlimen Putatan susulan kontroversi itu, mengadakan sidang media untuk menjawab tuduhan mencabul seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan dan menyerang seorang pegawai Rela baru-baru ini.


Among memberitahu wartawan, beliau sudah memfailkan saman sivil terhadap peserta itu, pegawai Rela dan portal berita berhubung dakwaan terbabit yang dinafikannya sebagai palsu.

Pihak berkuasa menghabiskan lebih 30 minit di pejabatnya selepas media bersurai dan Among dibawa menaiki sebuah kenderaan polis tidak bertanda, dipercayai untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kepayan, di sini.

Peguamnya, Marcel Jude berkata, Among ditahan polis untuk membantu siasatan atas dakwaan gangguan seksual dan serangan.

Terdahulu, dalam sidang media itu, Among memberitahu wartawan, beliau sedia bekerjasama dengan polis “setiap masa”. – FMT

BERITA LANJUT MENYUSUL


Tampil jika anda turut dicabul, pengerusi penganjur gesa peserta Ratu Kaamatan

KOTA KINABALU: Pengerusi Pertandingan Ratu Kaamatan atau Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Bordeless peringkat negeri, Joanna Kitingan, menggesa mana-mana peserta yang turut didakwa dicabul supaya tampil menuntut keadilan.

Beliau berkata, dakwaan seorang peserta UNK itu dicabul oleh seorang ahli politik yang juga jawatankuasa pertandingan itu sangat mengejutkan dan mengecewakan.

“Kami berharap lebih ramai mangsa (jika ada) akan tampil menyatakan kes mereka kerana kami mahu nama Unduk Ngadau ini disanjung tinggi, selain mahu melindungi peserta muda kami.

“Pihak kami juga benar-benar bersimpati dengan apa yang dilalui oleh peserta muda ini dan pujian juga harus diberikan kerana dia berani melaporkan perbuatan ‘menakutkan’ seseorang yang sepatutnya melindungi dia, bukannya menjadikan dia mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Joanna berkata, individu yang didakwa melakukan perbuatan cabul itu bukan dijemput oleh penganjur seperti yang dipersoalkan oleh banyak pihak.


Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dalam merancang pelaksanaan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2021 seawal Mac lalu untuk pendaftaran peserta secara dalam talian.

“Pasukan teknikal kami melaksanakan tugas mendaftar secara dalam talian, mekanisme undian dan juga penggambaran untuk semua 79 wakil Unduk Ngadau di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dalam pengetahuan kami, mereka (pasukan teknikal) telah melakukan kerja yang baik sepanjang pertandingan dan jawatankuasa saya juga telah melakukan yang terbaik untuk menjaga serta melindungi semua peserta. Malah, kami turut mengadakan ceramah kesedaran berhubung gangguan seksual secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, kejadian cabul seperti yang didakwa berlaku itu adalah di luar kawalan pihaknya.

“Kami percaya keadilan perlu diberikan kepada peserta terbabit, mereka yang bersalah perlu dibawa ke muka pengadilan dan pihak kami juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) Ellyanti P Nelson berkata, pihaknya sedia memberikan segala sokongan yang perlu kepada mana-mana peserta yang didakwa dicabul.


Katanya, PUNS memandang serius kes yang kini tular di media sosial itu dan mahu keadilan sewajarnya diberikan kepada mangsa.

“Walaupun perkara ini masih di peringkat siasatan, namun kami ingin menyatakan bahawa kami bersedia memberikan segala sokongan kepada mana-mana peserta yang mengalami perkara sama.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh salah seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri yang mendakwa diraba di peha, belakang badan, leher dan tangannya ketika menaiki kenderaan milik seorang jawatankuasa penganjur.

Laporan polis yang bertarikh 21 Mei itu juga turut tular di media sosial, termasuk di Facebook dan WhatsApp.

Dakwaan itu juga dikaitkan dengan pemimpin sebuah parti tempatan di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan itu dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram