Agong tak tetap bulan berapa buka Parlimen, kata Takiyuddin



PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan, membayangkan masa “sudah hampir” untuk Parlimen bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ia harus diadakan secepat mungkin.

Takiyuddin berkata, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan namun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan bahawa sidang dewan rakyat itu boleh diadakan paling awal September ini.

“Agong tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa dan sekian. (Baginda) menyatakan secepat mungkin. Perdana Menteri pun ada menyatakan Parlimen akan dibuka dalam bulan September atau Oktober. Sekarang ini pun kita sudah hampir penghujung Jun. Sudah hampir dan kita pasti akan adakan Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.


Dalam kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Sultan Abdullah menyedari peranan penting Parlimen untuk membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Pendirian Agong itu memperoleh sokongan Raja-Raja Melayu, pada mesyuarat dengan baginda petang tadi.

Takiyuddin berkata, semua pihak menerima baik pandangan Agong mengenai keperluan mengadakan sidang Parlimen bagi memerangi wabak Covid-19 dengan lebih berkesan.

Beliau mengingatkan supaya Ahli Parlimen patuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk memberi perhatian hanya kepada isu berkaitan pandemik Covid-19.

“Jangan nanti bila sampai Parlimen kita macam biasalah bincang benda lain. Tuanku titah soal Covid-19 (jadi) kita fokus dengan Covid-19,” katanya.

Takiyuddin berkata, kerajaan sebelum ini mengatur perancangan untuk mengadakan sidang Parlimen secara maya kerana negara masih dibelenggu pandemik.


Beliau berkata, sidang Parlimen terbuka membawa risikonya tersendiri.

“Jika Agong minta bersidang kita kena bersidang, tetapi kita masih berdepan dengan Covid-19. Kalau ikutkan nak adakan Parlimen ia akan melibatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk (wakil rakyat), pegawai mereka, petugas Parlimen dan lain-lain.

Katanya, butiran mengenai sidang Parlimen secara maya belum diumumkan “sebab kita masih dalam kajian di peringkat akhir.”

Takiyuddin berkata demikian pada wawancara anjuran Harakah. Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, perisytiharan darurat pada Jan lalu membantu mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat, Raja-Raja Melayu bertitah mereka mengambil maklum bahawa angka jangkitan harian Covid-19 adalah “besar walaupun negara telah berada bawah pemerintahan darurat.” – FMT






Join our Telegram Channel
Telegram