12 ahli Ikhwanul Muslimin kekal jalani hukuman mati



KAHERAH: Mahkamah Tinggi Mesir mengekalkan hukuman mati terhadap 12 ahli Ikhwanul Muslimin sekali gus mengakhiri perbicaraan berkaitan pembunuhan beramai-ramai semasa demonstrasi pada 2013 oleh pasukan keselamatan.

Keputusan mahkamah yang tidak boleh dirayu lagi bererti 12 individu tersebut akan menunggu persetujuan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bagi pelaksanaan hukuman itu.

Mereka yang dihukum mati termasuk ulama terkenal, Abdul Rahman Al-Bar, bekas ahli Parlimen, Mohamed El-Beltagi dan bekas menteri, Osama Yassin.

Mereka didakwa atas pertuduhan menyediakan senjata kepada kumpulan penjenayah yang menyerang penduduk, melawan dan membunuh polis, memiliki senjata api dan bahan menghasilkan bom.


Mahkamah turut menyenaraikan pertuduhan lain termasuk membunuh anggota polis, melawan pihak berkuasa dan memusnahkan harta benda awam.

Banyak tokoh Ikhwanul Muslimin dihukum mati dalam kes-kes lain berkaitan rusuhan yang berlaku setelah bekas Presiden Mesir yang juga Ketua Sayap Politik Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi disingkirkan oleh rejim tentera pada 2013.

Menyingkap kembali pemecatan Morsi pada Julai 2013, para penyokong Ikhwanul Muslimin mengadakan demonstrasi besar-besaran di Dataran Rabaa Al-Adawiya di timur Kaherah yang menuntut pembebasannya.

Bulan berikutnya, pasukan keselamatan menyerbu kawasan dataran dan membunuh 800 rakyat mesir dalam tempoh sehari.

Ikhwanul Muslimin diasaskan oleh Hassan al-Banna di Mesir sejak 1928 yang kononnya bertujuan untuk mengajak orang ramai mengamalkan cara hidup Islam.

Penubuhan organisasi itu sendiri berperanan sebagai gerakan pembangkang utama di Mesir.


Gerakan itu berjaya berkembang dan meresapi parti politik di negara Islam di seluruh dunia.

Bagaimanapun, gerakan itu tetap dilarang di beberapa negara termasuk Mesir yang kononnya dikaitkan dengan aktiviti keganasan.

Morsi berjaya dipilih sebagai Presiden negara itu selepas tunjuk perasaan besar-besaran di Mesir pada 2011 bagi menyingkirkan pemimpin lama, Hosni Mubarak.

Namun, pemerintahan Morsi yang membawa harapan kepada negara Islam lain digulingkan secara oleh tentera yang dipimpin oleh Sisi.

Pemerintahan Sisi melarang gerakan Ikhwan sejak akhir 2013 dan mengenakan tindakan keras serta memenjarakan ribuan penyokong. – AGENSI





 

Join our Telegram Channel
Telegram