Ugutan Yusuf Azmi isytihar perang, kepung Klang boleh diambil tindakan, kata polis



PETALING JAYA: Kenyataan yang mengandungi gesaan berbaur ugutan berkaitan isu majikan memukul pengawal peribadi kerana berpuasa akan diambil tindakan, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Arjunaidi dalam kenyataan menegaskan, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Turut terkesan, beberapa gesaan yang berbaur ugutan daripada pihak tertentu untuk mengisytiharkan perang dan mengepung kawasan Klang, dan kenyataan yang sebegini, boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.


Kata beliau, pihaknya sudah mengesan beberapa klip video yang dimuat naik di pelbagai platform media sosial yang menggesa supaya tindakan setimpal diambil terhadap suspek yang memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.

“Sehingga kini polis mengesahkan seramai lima orang telah ditangkap melalui beberapa siri tangkapan bagi membantu siasatan, dan daripada jumlah tersebut, seramai empat ditangkap di Klang Selatan, Selangor sementara seorang lagi di Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Semua suspek ditahan reman antara lima hingga tujuh hari,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber yang tidak sahih.

Rabu lalu, FMT melaporkan seorang majikan ditahan selepas dua pengawal peribadinya mendakwa dirotan kerana berpuasa, tidak sampai 24 jam selepas gambar dan salinan laporan polis kejadian itu tular di media sosial.


Ketua Polis Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, berkata suspek berusia 43 tahun itu diberkas di kediamannya di Klang, Selangor kerana disyaki melakukan ugutan jenayah dengan pistol dan merotan dua lelaki terbabit disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan mereka berpuasa.

Menurut beliau, kejadian bermula apabila pengadu dan seorang rakannya didatangi suspek yang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi sebuah kondominium di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, selepas pengadu dan rakannya memaklumkan mereka berpuasa, majikannya memarahi dan menampar pengadu di kepala, sebelum mengikut suspek ke rumahnya di Batu Nilam, Klang. – Kosmo



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram