Tubuh segera RCI siasat buku Tommy, desak Umno



KUALA LUMPUR: Umno mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno hari ini selepas banyak laporan polis dibuat mengenainya.

Pada 5 Feb lalu, Ahmad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung buku itu.


Menerusi kenyataan, beliau berkata laporan itu dibuat selepas mendapati buku itu mempunyai kesalahan fakta dan unsur hasutan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang antara kaum di Malaysia yang mendorong kepada tindakan berbaur perkauman ke atas kerajaan atau Raja.

Sementara itu, Ahmad berkata Umno turut mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kembali bersidang selaras titah Yang di-Pertuan Agong, yang menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Katanya, antara rasional utama dipertimbangkan termasuk kerajaan tidak boleh dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.

“Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah medan semak dan imbang dalam kalangan wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat yang hari ini berdepan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup rakyat dan harga barang yang meningkat.


“Mesti ada akauntabiliti terhadap segala aspek kewangan negara termasuklah perbelanjaan wang rakyat, peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60% daripada KDNK (bertentangan dengan Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen), penggunaan buat kali pertama dalam sejarah Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan,” katanya selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Dato Onn.

Beliau berkata, keyakinan dan kepercayaan pelabur terutama dari luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen digantung sehingga tiada lagi aspek “good governance” dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.

“SOP khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana diamalkan di negara seluruh dunia,” katanya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram