Kita yakin Nabi pun tak suka capal dikaki tiba-tiba letak di kepala – Mufti Kedah



ALOR SETAR: Umat Islam tidak digalakkan memakai perhiasan di kepala, termasuk songkok yang mempunyai lakaran atau logo capal kerana ia bercanggah dengan norma fitrah insani.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, berkata ini kerana kepala manusia adalah tempat yang mulia, sedangkan capal tempatnya adalah di kaki.

"Kita yakin Nabi Muhammad SAW pun tidak menyukai capal yang digunakan di kaki tiba-tiba diletakkan di atas kepala. Itu bercanggah dengan norma fitrah insani.


"Sekiranya ada dijual capal seperti Nabi Muhammad pakai, tidak ada sebarang masalah untuk kita beli dan pakai, cuma kita minta masyarakat boleh menilai sesuatu perkara yang bercanggah dengan fitrah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Kedah 2021 di Menara Zakat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Fadzil berkata, isu tabarruk (mengambil keberkatan terhadap sesuatu yang terkait dengan peninggalan Nabi Muhammad SAW) berlaku pada zaman sahabat, namun sahabat mengambil keberkatan daripada peralatan, pakaian dan sebagainya yang sebenar digunakan Nabi Muhammad.


Katanya, ia termasuk rambut, serban, baju dan capal yang dipakai oleh Baginda.

"Contoh yang lain ialah kayu sugi digunakan Baginda, isteri Baginda, Saidatina Aishah RA turut menggunakan kayu sugi Baginda, itulah yang dinamakan tabarruk.

"Ini pula hanyalah sekadar lakaran dan logo dan ia tidaklah seperti tabarruk yang dilakukan oleh sahabat Baginda," katanya. – Bharian
Join our Telegram Channel
Telegram