Bekas ketua pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, tampil menjadi calon
dalam pemilihan jawatankuasa DAP Kelantan yang bakal berlangsung 9 April ini.
Menyertai parti itu sekitar Ogos 2019, Bazlan berkata dia berbuat demikian
bagi membantu menguatkan lagi parti itu di Kelantan.
"Dengan pengalaman lalu yang saya ada mungkin sedikit sebanyak boleh membantu
memperkukuhkan dan memperkasakan lagi DAP Kelantan.
"Saya yakin dengan adanya calon-calon jawatankuasa daripada kaum Melayu dan
diharap sekiranya kami menang nanti, ia memudahkan lagi gerak kerja parti di
negeri ini termasuk untuk mengadakan program," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini.
Bazlan menggalas jawatan ketua pemuda Umno Gua Musang sejak 2008 hingga 2013.
Sementara itu, dia berharap keputusan pemilihan kali ini akan membariskan
jawantakuasa negeri dengan komposisi kaum yang seimbang.
"Hasrat saya supaya masyarakat sedar bahawa DAP bukanlah parti rasis seperti
yang didakwa dan boleh disertai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar
belakang.
"Bagi pemilihan kali ini diharap 15 ahli jawatankuasa yang dipilih nanti
seimbang dari segi komposisi kaum dan mampu menarik lebih ramai keahlian
baru," katanya.
Join our Telegram Channel