Islam dihina lagi, satu lagi video iklan raya judi tular



BELUM selesai isu promosi aktiviti perjudian dalam talian menggunakan tema sambutan Hari Raya, muncul pula video kedua menggunakan konsep sama.

Terbaharu, satu lagi video iklan menggunakan tajuk Hari Raya Berkarya yang turut mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Berlatarbelakangkan lagu sambutan Aidilfitri dan barisan pelakon berbaju raya, iklan berdurasi tiga minit 19 saat itu ternyata mengundang kemarahan netizen.


Ia dilihat mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang berdepan pelbagai kesukaran sebelum menyambut hari lebaran.

Video itu dilihat menggunakan konsep yang sama dengan mengajak orang ramai ‘cuci duit’ bagi mendapatkan duit dalam kadar segera.

Sebelum ini, sebuah iklan yang sama dikeluarkan syarikat perjudian yang mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat itu bagi meraih wang berganda tular di media sosial sejak Khamis.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat lima pelakon Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.


Menerusi laporan eksklusif mStar pada Jumaat, wakil kumpulan pelakon MV pertama berkenaan iaitu Saifullah Mohd Yunus, 24, mendakwa tidak mengetahui mengenai latar belakang sindiket berkenaan yang menggunakan khidmat mereka untuk tujuan promosi judi.

Susulan daripada itu, lapan individu termasuk lima pelakon iklan video muzik (MV) raya yang mempromosikan perjudian dalam talian akhirnya dicekup pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penahanan lapan individu tersebut membabitkan lima lelaki dan tiga perempuan terdiri daripada pelakon, ejen artis, jurukamera serta pengarah yang juga penerbit video berkenaan. – Mstar





Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram