Tun M, individu tertua terima vaksin



PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi individu tertua penerima vaksin Covid-19 di negara ini setakat hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin melalui ciapannya di akaun Twitter miliknya berkata, Ahli Parlimen Langkawi yang ketika ini berusia 96 tahun merupakan individu tertua yang menerima vaksin.

“Pada umur 96 tahun, Tun Mahathir merupakan penerima vaksin tertua di negara ini. Kami juga berharap agar lebih ramai lagi penduduk yang berumur untuk mendaftar pada fasa dua program imunisasi,” jelasnya hari ini.


Sementara itu, Mahathir turut mengajak bukan sahaja yang berumur sepertinya bahkan juga rakyat yang lebih muda untuk turut bersama divaksin apabila tiba giliran nanti.

“Selain itu sebagai warga emas saya ingin mengajak bukan sahaja yang berumur seperti saya tetapi juga rakyat yang lebih muda untuk turut bersama divaksin apabila tiba giliran nanti.

“Usaha ini perlu kita sokong. Kita sebolehnya mahu lebih ramai diberi vaksin untuk membantu usaha mengekang pandemik Covid-19. Alhamdulillah, selepas suntikan saya tidak berasa apa-apa yang luar biasa,” jelasnya dalam hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.


Mahathir hari ini telah hadir ke Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Daerah Langkawi untuk melihat sendiri perjalanan proses vaksinasi bagi Fasa 1.

“Saya memilih untuk disuntik bersama kumpulan kedua ‘frontliners’ di sini. Kumpulan pertama frontliners di Langkawi sudah divaksin lebih awal.

“Saya ingin rakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Kuah, Hospital Langkawi dan para barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar,” jelasnya. – Kosmo



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram