Kecoh lelaki cib*i puk*makkan polis sebab nak rentas negeri



SEBERANG PERAI – Satu video yang memaparkan seorang lelaki membalas pertanyaan polis sambil melemparkan kata-kata kesat yang tular di media sosial hari ini dilaporkan berlaku di sekatan jalan raya (SJR) di Nibong Tebal baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap suspek pada 18 Februari lalu sebelum video berkenaan tular.

Menurutnya, ketika kejadian, anggota dari Balai Polis Nibong Tebal telah menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun yang mahu merentas negeri kira-kira pukul 5 petang.


“Selepas pemeriksaan, dia tidak mempunyai kebenaran untuk merentas negeri semasa melalui SJR.

“Lelaki itu didapati bergerak dari Butterworth (daerah Seberang Perai Utara) hendak ke Bagan Serai, Perak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, ketika diminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu, lelaki berkenaan telah membaling kad-kad tersebut ke arah anggota polis yang bertugas.

“Disebabkan itu, anggota terus menahannya kerana bertindak kasar, tidak memberi kerjasama dan menghalang petugas menjalankan tugas SJR.


“Semasa proses tangkapan hendak dilaksanakan, dia telah mengeluarkan perkataan kasat kepada anggota polis dan ditahan selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Chong Chern berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod rawatan (sakit) mental di Hospital Taiping, Perak sehingga kini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – Kosmo



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram