11 lelaki mengamuk restoran tutup tak ambil order



KUALA LUMPUR – Gara-gara bengang tidak dapat makan di sebuah restoran, 11 lelaki naik berang lalu mengamuk dengan merosakkan peralatan kedai dalam kejadian di sebuah restoran terkemuka di Little India, Brickfields malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kedai berkenaan dikatakan dalam proses menutup operasi perniagaan.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan mendapati suspek tidak berpuashati dengan penutupan restoran berkenaan lalu mengamuk.

“Ekoran itu, berlaku kekecohan yang mana suspek telah merosakkan peralatan restoran termasuk meja dan kerusi,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang, di sini hari ini.


Jelasnya, selang beberapa jam kemudian, tiga suspek berusia 27 hingga 35 tahun berjaya diberkas sekitar pukul 1 pagi di sekitar Kuala Lumpur.

“Manakala baki lapan suspek lagi sedang dikesan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata. – Kosmo



Please subscribe

 

Join our Telegram Channel
Telegram