100 MP berisiko dijangkiti Covid antara faktor parlimen ditangguhkan – Takiyuddin



antara sebab parlimen ditangguhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, daripada 220 ahli parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

"Hampir sebahagian ahli parlimen adalah kumpulan berisiko, jadi kita tidak mahu mereka terdedah kepada Covid-19 sebab berada di ‘confined area’ iaitu sempit dan tertutup.

“Apabila parlimen bersidang, seorang ahli parlimen akan bawa tiga pegawai bayangkan berapa ramai di tempat itu dengan kakitangan awam lagi,” katanya dipetik Bernama.


Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.

Selain risiko kepada anggota parlimen, Takiyuddin berkata penangguhan Dewan Rakyat juga dibuat bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengekang Covid-19.

“Ahli Parlimen sebagai petugas barisan hadapan bekerjasama tangani Covid-19 di kawasan masing-masing dan kerajaan serius merangka strategi bendung penularan wabak ini," katanya.

Dia berkata berdasarkan faktor perundangan, tiada keperluan untuk parlimen bersidang dalam tempoh darurat memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh membuat ordinan di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan.


Selain itu, katanya Perkara 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga menyatakan dengan jelas bahawa sidang parlimen ditiadakan dalam tempoh darurat.

“Seri Paduka boleh buat undang-undang maka keperluan untuk parlimen bersidang tiada," katanya.

Takiyuddin bagaimanapun berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan bahawa sidang parlimen boleh dijalankan selepas tempoh darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Untuk rekod, Muhyiddin mengisytiharkan darurat atas alasan mengekang penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan penggantungan parlimen.


Namun Istana Negara dalam kenyataan pada 12 Jan menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pembangkang sebelum ini berkata tiada sebab parlimen perlu ditangguhkan memandangkan ahli parlimen dan Adun merupakan penerima vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula sejak 26 Feb lalu. – Mkini





Join our Telegram Channel
Telegram