Bekas hakim dedah sistem korup dalam kehakiman, dapat rasuah RM10k untuk satu kes



Firdaus Ramlan merupakan hakim majistret di Kelantan apabila kes rasuahnya terbongkar lebih satu dekad lalu.

Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini berusia 39 tahun itu menceritakan kisah hidupnya agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

Firdaus melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai majistret di Mahkamah Majistret Gua Musang. 

Sebelum itu, dia pernah bertugas sebagai penasihat undang-undang untuk Majlis Bandaraya Klang dan pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Sistem yang korup tu dah ada. Saya mewarisinya. Ini merupakan rahsia terbuka," tambahnya.

Mengakui bahawa dia tidak dipaksa untuk menerima rasuah, Firdaus berkata “broker” adalah antara mereka yang 'menyambutnya' ketika dia melaporkan diri sebagai hakim.


"Ini adalah orang tengah antara saya dan penjahat. Ketika saya melapor bertugas untuk pertama kalinya, mereka membayar makanan saya dan menyediakan tempat untuk saya tinggal," tambahnya.

Gaji permulaan Firdaus bagi jawatan gred F41 adalah sebanyak RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, bekas majistret itu berkata dia tidak menyentuh 'satu sen pun' gaji berkenaan kerana boleh mendapat sehingga RM10,000 bagi setiap kes.

"Bayangkan berapa banyak yang akan saya dapat sekiranya ada tiga atau empat kes dalam sehari?" katanya sambil mengatakan godaan itu terlalu besar untuk dihindari.

Firdaus menceriatakan dia menggunakan wang itu untuk membeli barangan mewah seperti jam tangan dan kasut berjenama.

“Ketika dah buat duit, giliran kamu melayani broker. Saya juga kirimkan wang kepada ibu bapa saya, ”tambahnya.


Bagaimana ia disepakati

Pada tahun 2009, Firdaus mengendalikan kes melibatkan pesalah dadah yang sebelumnya didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. Pada masa itu, dia dikenali di kalangan orang tertentu sebagai majistret yang korup.

Tertuduh menawarkan untuk membayar RM5,000 untuk dibebaskan dengan bon bagi mengelakkan dipenjara.

Menceritakan bagaimana ia disepakati, Firdaus berkata tertuduh akan menyatakan hasratnya kepada anggota polis yang bertugas di mahkamah.

Anggota polis kemudian akan menyampaikan mesej itu ketua inspektor yang akan mendekati tertuduh untuk mengesahkan kesepakatan itu.

Setelah perkara itu disahkan, ketua inspektor, yang bertemu majistret setiap pagi, akan menyampaikan tawaran itu kepada Firdaus.

Sekiranya disepakati, tertuduh akan mengupah peguam untuk merayu hukuman yang lebih ringan di hadapan majistret.


Namun, dalam kes ini, tertuduh tidak menjelaskan bayarannya dan ini menyebabkan rasuah itu terbongkar.

"Ketua inspektior mengugut tertuduh bahawa dia akan mengemukakan rayuan dan mengembalikan hukuman penjara. Oleh itu, tertuduh buat laporan polis dan dedahkan kami semua.

"Tertuduh dilindungi di bawah Akta SPRM sebagai pemberi maklumat," tambah bekas hakim itu.

Firdaus ditangkap pada 11 Oktober 2009 ketika isterinya mengandung anak pertama mereka.

Ketika perkara itu didengar di Mahkamah Rayuan, Firdaus mengaku dia cuba melarikan diri.

"Saya tahu ia dah berakhir.

"Saya melihat nama panel hakim termasuk Abdul Wahab Patail dan Jeffrey Tan. Peguam saya sudah bersedia tapi kes ini kuat. Para hakim tak akan tertipu, " katanya.


Fridaus menceritakan dia mengambil kunci keretanya dan keluar dari bangunan mahkamah melalui pintu belakang ketika bertemu peguamnya.

"Dia tanya ke mana saya nak pergi.  Saya beritahu saya nak lari. Tapi dia nasihatkan saya untuk berdepan masalah ini dan saya mendengar nasihat dia.

"Seperti dijangka, para hakim mengekalkan hukuman. Saya masih ingat wajah sedih isteri dan ibu mentua saya," tambahnya.

Firdaus berkata dia masih meratapi kematian ibu, ayah tiri dan adiknya yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

"Mayat ibu saya rentung. Saya tak dapat berhenti daripada memikirkan bahawa saya telah memberi makan keluarga saya dengan hasil haram," tambahnya.

Firdaus dijatuhi hukuman tiga tahun penjara tetapi dibebaskan dengan parol selepas 19 bulan.

Pada bulan Jun 2014, Firdaus bertemu pegawai SPRM yang menyiasat kesnya.


"Saya nampak dia di sebuah restoran. Dia kenal saya ketika saya perkenalkan diri sebagai 'majistret korup.'

"Saya beritahu dia bahawa saya ingin berkongsi pengalaman saya dengan pegawai kerajaan yang lain untuk mengelakkan mereka mengalami nasib yang serupa," tambahnya.

Dengan bantuan pegawai itu, Firdaus menemui pengarah SPRM negeri untuk mengemukakan cadangan tersebut.

"Pengarah setuju dengan idea itu. Sesi perkongsian pertama saya adalah di institut perguruan di Kota Bharu. Di situlah ia bermula. Inilah apa yang saya lakukan sekarang," tambahnya.

Ketika ditanya apakah dia merindui profesion perundangan, Firdaus menjawab:

"Jika saya dapat mengundurkan waktu, saya akan menjadi majistret yang menegakkan keadilan, bukan majistret yang korup." – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram