Umno tak jujur, tak boleh percaya, kata bekas Osman Sapian



PETALING JAYA: Tindakan Umno mahu memutuskan kerjasama politik dengan PPBM dianggap sebagai tiada kejujuran dan tidak boleh dipercayai, kata bekas menteri besar Johor Osman Sapian.

“Pada pendapat saya, jika itu yang mereka mahu bermakna mereka tidak ada kejujuran,” kata ahli PPBM itu kepada FMT.

Beliau berkata, dalam apa saja usul dikemukakan ketua bahagian Umno itu terpulang kepada mereka, namun beliau menegaskan kuasa membuat keputusan bawah tanggungjawab Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

“Maka dengan itu PPBM menyerahkan kata putus dibuat oleh yang berhak. Apa-apa keputusan pendirian terhadap daripada mana-mana ketua bahagian itu terpulang kepada dia (Umno).


“Tapi yang berhak memutuskan adalah kepimpinan tertinggi, kita serahkan keputusan bijaksana yang akan dibuat oleh majlis pimpinan tertinggi (MKT Umno),” katanya.

Osman berkata, jika Umno mahu memutuskan hubungan dengan PPBM, tindakan itu boleh menjadi punca kejatuhan Johor kerana sukar bagi Umno mendapatkan majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Katanya, jika Umno terus mendesak, pucuk pimpinan PPBM harus memperhalusinya secepat mungkin namun jangan menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk memperkuatkan parti sendiri sahaja.

“Kalau sudah didesak macam ini, majlis pimpinan tertinggi (PPBM) kena perhalusi perkara ini secepat mungkin. Jangan gunakan kedudukan dalam kerajaan untuk memperteguhkan parti dia sahaja,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, MKT Umno akan membincangkan usul penolakan kerjasama dengan PPBM yang diputuskan 143 dari 191 bahagiannya.


Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata, penolakan kerjasama itu pada awalnya dibuat melalui satu kajian dalam kumpulan WhatsApp ketua Umno bahagian seluruh negara.

Malah, antara sebab lain pula Umno mendakwa PPBM menawarkan wang untuk memancing ahlinya menyertai parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

Zahid berkata, usul itu harus dikaji dan diterima Umno sebagai suara akar umbi serta keputusan rasmi parti, walaupun Ahli Parlimen Umno menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Umno dijangka memuktamadkan keputusan sama ada menamatkan kerjasama dengan PPBM dalam perhimpunan agung 31 Jan ini, dan menarik diri daripada kerajaan PN ditunjangi parti itu bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 diadakan pada suku pertama tahun ini. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram