No way, UMNO P Pinang tak mahu tolak ansur dengan PPBM



PETALING JAYA: Sebahagian besar daripada 13 bahagian UMNO Pulau Pinang menolak tolak ansur dengan PPBM, dan bertegas akan mempertahankan kerusi dimenangi “pengkhianat” parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir, dilapor Berita Harian sebagai berkata keputusan itu hasil usul yang dibentangkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian hari ini.

Katanya, UMNO negeri itu hanya mahu bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional dan mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi untuk PRU-15.


UMNO Pulau Pinang yakin dengan kekuatan ahlinya dan PAS, serta bersedia menghadapi pertembungan tiga penjuru pada PRU-15.

“Ia belum dibincang, tetapi Jawatankuasa Perunding UMNO sudah memberi panduan apa yang perlu kita buat, yang mana dengan PAS kita boleh bertolak ansur, tetapi dengan PPBM ‘no way’,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

PPBM mempunyai sebuah kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan empat kerusi DUN di Bertam, Seberang Jaya, Teluk Bahang, serta Sungai Acheh.

Musa berkata, kerjasama UMNO dengan PPBM sebelum ini hanya untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan berharap pucuk pimpinan parti tidak akan membuat kenyataan mengelirukan akar umbi berhubung kerjasama politik dengan parti lain.


“Tolonglah jangan kelirukan ahli UMNO dan rakyat, kita ada Majlis Kerja Tertinggi dan Biro Politik, maka gunalah saluran itu.

“Jangan buat kenyataan sampai kami di bahagian susah nak jawab apabila ahli-ahli bertanya. Kami nak bekerja dan walaupun kita kalah selama dua tahun apabila Barisan Nasional tumbang kepada PH, tidak ada satu pun cawangan ditutup.”

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah PAS bekerjasama dengan PPBM menerusi Perikatan Nasional.

Katanya, kerjasama UMNO dan PAS bertambah baik kerana sering menyertai program kedua-dua parti dan ia akan diteruskan dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan Pulau Pinang daripada DAP pada PRU-15. – FMT


 

Join our Telegram Channel
Telegram