Muhyddin telah hilang majoriti, perlu segera mengadap Agong



Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu mematuhi Perlembagaan Persekutuan dengan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah susulan hilangnya majoriti sokongan di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen PKR Hassan Karim.

Ia susulan pengumuman Pengerusi Umno Kelantan merangkap Ahli Parlimen Ahmad Jazlan Yaakub yang menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), semalam.

"Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu bahawa pada hemat Baginda, dia mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Kini Ahli Parlimen Machang telah menarik balik sokongan. Dalam keadaan ini, elok kita rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sekali lagi. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:


“ 'Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong',” kata Hassan dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, peruntukan itu begitu jelas dan Muhyiddin perlu mematuhinya sebarapa segera.

"Muhyiddin semasa mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikrar akan mempertahankan Perlembagaan. Inilah masanya untuk membuktikan ikrar dan sumpah jawatan tersebut," katanya lagi.

Pengumuman Ahmad Jazlan beberapa hari setelah dia meletakkan jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Ia menjadikan sokongan yang dimiliki Muhyiddin kini berkurang kepada 110 daripada 220 ahli Parlimen.


Terdahulu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga menyatakan pendirian tidak menyokong Muhyiddin, walaupun belum pernah menzahirkannya melalui mana-mana undian di Dewan Rakyat.

Untuk rekod secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi. Bagaimanapun dua daripadanya kosong disebabkan kematian wakil penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Hassan turut membangkitkan tindakan Muhyiddin yang menurutnya mengelak pembentangan usul tidak percaya dan juga usul percaya terhadapnya sepanjang menjadi perdana menteri.

"Perkara paling hampir yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya kepada Muhyiddin ialah pengundian untuk Belanjawan 2021. Undi paling tinggi yang menyokong belanjawan diperolehi pada 15 Disember semasa belah bagi bacaan ketiga.

"Kerajaan PN mendapat 111 undi manakala pembangkang mendapat 108 undi. 111 undi yang diperolehi ketika itu adalah termasuk sokongan Ahmad Jazlan," katanya lagi.


Meskipun dengan perkembangan itu, kerajaan PN masih dianggap berdiri, sekurang-kurangnya buat masa ini, disebabkan perpecahan di blok pembangkang.

PH hanya mempunyai 91 ahli Parlimen manakala 17 ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata, ia belum cukup menyingkirkan Muhyiddin selagi "majoriti alternatif" belum muncul.

"Sehingga cukup anggota Umno yang bersedia menyokong kerajaan PH, gabungan Muhyiddin masih mempunyai jumlah terbesar walaupun tidak mempunyai majoriti dalam Dewan," katanya lagi. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram